Pages

Friday, October 29, 2010

Teresa Kok: Menara Warisan Yang Mendatangkan Bantahan Orang Ramai


Teresa Kok,
Ahli Parlimen Seputeh
 I was MP number 102 to deliver my speech on Budget 2011 in the Dewan Rakyat. When my turn came this afternoon, I was allowed to speak for just 12 minutes only.

Below are the paragraphs that i managed to read at “rocket speed”.

~~~~~~~~

Ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Bajet 2011 di Dewan Rakyat Pada 28 Oktober 2010

Menara Warisan Yang Mendatangkan Bantahan Orang Ramai

Datuk yang diPertua, sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, saya merasa kesal dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membina bangunan 100 tingkat yang memakan belanja sebanyak RM5 bilion, yang kononnya lebih tinggi daripada KLCC di tapak di sebelah Stadium Negara, tanpa mengambil kira kesesakan trafik di pusat bandar Kuala Lumpur.

Mengikut prinsip Local Agenda 21 yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan tempatan sepatutnya mengadakan pendengaran orang ramai terhadap semua projek pembangunan yang akan didirikan. Kesalnya, prinsip Local Agenda 21 ini hanya dilaksanakan oleh majlis perbandaran di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor, tetapi tidak diamalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengumuman tentang pembinaan Menara Warisan ini merupakan contoh yang paling nyata yang menunjukkan bahawa cadangan ini memang tidak dirundingi dengan Ahli Parlimen dan penduduk di Kuala Lumpur.

Setakat 28 Oktober 2010 pukul 4 petang, pungutan suara online bagi kempen “Say No to Mega Tower” mengenai pembinaan Menara Warisan ini telah mendapat 191,374 sokongan daripada orang ramai. Pungutan suara ini menunjukkan reaksi warga Malaysia terhadap bangunan tinggi dan juga pembangunan yang tidak mengambil kira aliran trafik dan perancangan bandar yang rapi tersebut.

Walaupun menara ini dibiayai oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC), tetapi ia tetap melibatkan wang rakyat. Walaupun keretapi MRT akan dibina dalam Menara Warisan, tetapi memandangkan rangkaian keretapi di seluruh kawasan Lembah Klang ini masih tidak memuaskan dan kebanyakan orang Kuala Lumpur masih menggunakan kereta untuk masuk ke pusat bandar, jadi pembinaan bangunan raksaksa ini sudah tentu akan menyumbang kepada kesesakan trafik yang lebih serius di sekitar kawasan Pudu dan Bukit Bintang tersebut.

Perancangan DBKL Yang Tidak Terkawal

Datuk yang diPertua, di sini saya juga ingin menyuarakan ketidakpuasan saya terhadap perancangan DBKL yang tidak terkawal dan tidak mempunyai piawaian tetap di Kuala Lumpur. Bahagian Perancang DBKL kelihatan sanggup meluluskan apa juga projek pembangunan tanpa mengenakan “plot ratio” dan mengambil kira kesesakan trafik di banyak tempat di Kuala Lumpur.

Dalam beberapa bulan yang lepas, penduduk di kawasan Parlimen Seputeh dan saya pernah membantah 4 projek pembangunan, iaitu:

1) Pembinaan 2 blok pangsapuri servis 22 tingkat di Lot 1221 di Kuchai Entrepreneur’s Park;

2) Pembinaan pangsapuri di Lot 36288 di Jalan 11/116C di Kuchai Entrepreneur’s Park yang terletak di jalan mati dan di hadapan satu kondominium yang padat kependudukannya;

3) Kerja tambahan dan perubahan di banglo No: 1, Jalan 8/149K, Sri Petaling diluluskan oleh DBKL tanpa mengambil kira bantahan daripada para penduduk di sekitarnya;

4) Pembinaan 2 lot kedai di Jalan Hang Tuah 3 di Taman Salak Selatan.

5) Satu pangsapuri diluluskan di tanah yang telah dizonkan sebagai tanah sewerage di Sri Petaling, satu kawasan komersil yang mengalami kesesakan trafik yang serius.

Kemalangan Jalan Raya Yang Bersabit Pemandu Bas Jarak Jauh

Datuk yang diPertua, pada bulan-bulan yang lepas, kita menyaksikan banyak kemalangan jalan raya yang melibatkan bas pelancongan jarak jauh berlaku di lebuh raya kita. Di sini, saya ingin mencadangkan supaya Lembaga Pengeluaran Lesen Kenderaan Komersial untuk mencontohi Negara German dengan mengeluarkan peraturan yang lebih ketat terhadap pemadu bas jarak jauh.

Di negara Jerman, pemandu bas tidak dibenarkan bekerja lebih daripada 40 jam dalam satu minggu. Di samping itu, mereka dikehendaki berehat selama satu jam selepas mereka memandu selama 4 jam. Selain itu, satu rekaan yang mirip kepada “kotak hitam kapalterbang” khas yang mengawal had laju dan mecatat kelajuan bas selama satu bulan juga diletakkan dalam bas tersebut. Dengan adanya peraturan seperti ini, pemandu bas bukan sahaja mendapat rehat yang cukup, dia juga dipaksa untuk mengawal kelajuan kenderaannya. Dengan itu, kemalangan jalan raya pun dapat dikurangkan dan nyawa ramai penumpang bas pun boleh diselamatkan.

Hak Air Harus Dikembalikan Kepada Kerajaan Negeri Selangor

Datuk yang diPertua, sejak Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telahpun menyuarakan hasrat kami untuk mengambil-alih keempat-empat syarikat bekalan air supaya syarikat-syarikat ini diuruskan oleh kami dengan pendekatan yang lebih holistik. Bekas Menteri dan Menteri sekarang yang menjaga air memang pernah menyuarakan sokongan mereka terhadap usaha Kerajaan Negeri Selangor, tetapi kesalnya, perundingan selama dua tahun lebih ini kelihatan telah sampai ke jalan buntu, dan kita juga lihat Kementerian dan kabinet memang tiada hasrat untuk menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menstrukturkan semula industri air di samping mengawal harga air.

Saya ingin menyeru Kerajaan pusat untuk mengenepikan perbezaan politik tetapi melaksanakan prinsip “mendahulukan rakyat” untuk menyokong usaha kerajaan Negeri Selangor untuk menstrukturkan semula industri air di Selangor. Kalau tidak, warga Selangor dan Kuala Lumpur akan lebih menyisihkan Barisan Nasional.

Janji BN Untuk Membina Sekolah Dalam Kempen Pilihan Raya Tidak Dikotai

Datuk yang diPertua, saya merasa kesal terhadap sikap Kerajaan BN yang tidak mengotai janji, khususnya janji membina sekolah semasa pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Umum 2008. Janji kosong ini termasuk pemindahan SJKC La Salle dari Brickfields ke Sri Petaling yang dibuat dalam Pilihan Raya Umum 2008, SJK ( C ) Tun Tan Siew Sin di Putra Heights, Subang Jaya yang pernah dijanji oleh bekas Menteri Pendidikan YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 pada tahun 2006, dan SJKT Bestari Jaya yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dalam pilihan raya kecil Ijok pada tahun 2007.

Datuk yang diPertua, banyak pihak menyifatkan bajet 2011 ini adalah bajet pilihan raya umum. Di sini saya ingin tanya apakah sekolah-sekolah yang telah dijanji oleh BN semasa pilihan raya ini akan dibina dalam tahun hadapan sebelum kempen Pilihan Raya Umum yang akan datang?

Pelaburan Asing (FDI) Jatuh di Malaysia

Datuk yang diPertua, mengikut World Investment Report 2010 yang dikeluarkan oleh United Nations Conference of Trade and Development (UNCTAD), kita diberitahu bahawa pelaburan secara terus (FDI) ke Malaysia telah jatuh secara drastik pada tahun 2009, iaitu jatuh daripada USD 7.32 bilion ke USD 1.38 bilion, kejatuhan sebanyak 81%, iaitu lebih rendah daripada negara-negara ASEAN yang lebih mundur daripada Malaysia seperti Filipina dan Vietnam.

Di sini, saya ingin tanya, kenapakah angka daripada UNCTAD, iaitu USD1.38 bilion ataupun RM4.572 bilion berlainan dengan angka pelaburan asing yang diumumkan oleh MIDA, iaitu RM 22.144 bilion?

Apakah ini menunjukkan bahawa statistik yang ditunjukkan oleh MIDA ini telahpun diperbesarkan dan selalunya pelaburan asing yang diumumkan oleh MIDA ini memang tidak masuk ke Malaysia dan MIDA selalunya tidak memperbetulkan, sehingga angka MIDA ini memberi satu gambaran yang tidak tepat kepada kita?

Datuk yang diPertua, saya juga ingin tanya sama ada Kerajaan mempunyai mekanisme untuk mencatat kemasukan dan pengeluaran dana ke negara kita? Sekiranya ada, apakah rekod kerajaan ini sama dengan angka yang diumumkan oleh UNCTAD ini? Dan statistik manakah yang boleh dipercayai?

Sungutan Pelabur Asing

Datuk yang diPertua, saya sebagai exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan di Negeri Selangor yang ditadbirkan oleh Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri memang sentiasa sudi bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dari segi penarikan pelaburan asing ke Malaysia.

Pelabur Taiwan Bersungut Pembatalan Visa Ketibaan

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk memanjangkan ketidakpuasan pelabur asing terhadap Malaysia. Saya terima aduan daripada pelabur dari Taiwan di Malaysia yang mana mereka amat tidak puas hati terhadap pembatalan visa ketibaan (visa on arrival) di lapangan terbang di Malaysia. Pembatalan visa ketibaan secara tiba-tiba ini telah mendatangkan banyak kesusahan kepada mereka kerana mereka terpaksa menunggu pengeluaran visa untuk datang ke Malaysia. Mereka mengadu pembatalan visa ketibaan ini memang akan menjejaskan hubungan dua-hala di antara Malaysia dan Taiwan, kerana warga Malaysia yang ingin melawat Taiwan tidak perlu memohon visa, tetapi kerajaan Malaysia pula menghendaki para pelancong dan pelabur Taiwan untuk memohon visa sebelum datang ke Malaysia. Sekiranya kerajaan ingin mempelawa lebih pelancong dan pelabur untuk datang ke Malaysia, saya ingin mencadangkan supaya warga Taiwan mendapat layanan tanpa visa, sama seperti layanan oleh kerajaan Taiwan kepada Malaysia. Selain itu, saya juga ingin mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula pembatalan visa ketibaan ini kerana pembatalan ini memang telah menjejaskan usaha kita untuk menarik masuk pelaburan asing.

Memberi Pemastautin Tetap (PR) Kepada Pelabur Asing

Ramai pelabur asing, khususnya jutawan di Negara China amat berminat untuk menjadi pemastautin tetap di luar negara. Apabila kami menjemput mereka untuk melabur di Malaysia, selalunya mereka akan tanya tentang kemungkinan untuk menjadi warganegara ataupun pemastautin tetap di Malaysia. Di sini, saya ingin tanya betapa sedianya kerajaan, khususnya pihak imigresen dan Kementerian Dalam Negeri untuk mempertimbangkan pemberian pemastautin tetap kepada pelabur asing tersebut? Mengikut laporan UNCTAD, Singapura mencatat kemasukan pelaburan asing yang paling tinggi di rantau ASEAN, iaitu sebanyak USD17 bilion. Salah satu sebab yang menyumbang kepada kemasukan FDI ke Singapura ialah kerana dasar Singapura yang sudi memberi kewarganegaraan dan status pemastautin tetap kepada warga asing yang mempunyai kepakaran dan juga pelabur.

Memandangkan persaingan untuk mendapat pelaburan asing menjadi semakin sengit di rantau ASEAN ini, dan Malaysia menghadapi saingan sengit dengan negara jiran kita. Jadi, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan memberi lebih kelonggaran dari segi permohonan pemastautin tetap Malaysia daripada pelabur asing, supaya kita boleh menarik masuk lebih dana asing dalam tahun-tahun yang akan datang.

Teresa Kok

1 comment:

Anonymous said...

butuhlah... kaki penipu.... pengkhianat.... pi mati lg bgs...

Posting Terkini