Pages

Monday, October 18, 2010

Mahathir: Diktator pun boleh buat baik


Pemerintahan secara diktator boleh juga memberikan kebaikan kepada rakyat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad yang pernah dituduh memperkenalkan kepimpinan autokratik di negara ini.

Menjawab tuduhan itu, Dr Mahathir semasa berucap dalam sebuah forum antarabangsa di PWTC Kuala Lumpur hari ini secara nakal berkata:

"Malaysia dikatakan pernah diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Saya menikmatinya (gelaran itu)."

"Tetapi sekurang-kurangnya kita semakin maju. Bangunan ini (PWTC) dulu tidak pernah ada di sini," katanya.

Beliau memberikan contoh negara China yang menurutnya pemerintahan autokratik lebih berjaya daripada negara demokrasi yang dipilih oleh rakyat.

"Tiada demokrasi di China tetapi sistem kerajaannya boleh memberikan banyak manfaat kepada rakyatnya," katanya sambil menambah bahawa pertukaran tampuk kepimpinan di negara itu lebih aman berbanding negara demokrasi lain.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Mahathir menyentuh tentang peranan media yang didakwanya telah menjadi hampir di luar kawalan berikutan kemajuan teknologi masih boleh ditangani dengan cara tertentu.

Pilihan raya untuk editor

"Sudah tentu, ia semakin sukar tapi ia tidaklah terlalu teruk kerana kerajaan perlu bersiap sedia bagi memastikan mereka melakukan perkara yang betul. Jika tidak, media boleh menjadi kritikal.

"Jika media membuat tuduhan palsu, kerajaan perlu menjawab," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata kerajaan perlu berhati-hati kerana ada orang lain yang mengawal media untuk kepentingan mereka bukan untuk kepentingan negara ini.

"Kerajaan boleh ditukar tetapi kita tidak boleh mengadakan pilihan raya bagi mana-mana pegawai yang mengendalikan media. Siapa yang memilih pemilik surat khabar, penyunting, editor dan wartawan? Adakah kita mengadakan pilihan raya untuk para editor?" soalnya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mendedahkan penyalahgunaan media secara terang-terangan oleh mereka yang mempunyai agendanya yang tersendiri.

"Ada seseorang yang mengawal media, ia tidak mungkin kerajaan tetapi apabila kamu mempunyai kerajaan yang mengawal media, sekurang-kurangnya kerajaan dalam sebuah negara demokrasi, (media itu) akan dikendalikan oleh mereka yang dipilih rakyat," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

No comments:

Posting Terkini