Pages

Monday, October 18, 2010

Sekilas Dunia

Cuti percuma bagi pelombong

KINGSTON: Pemerintah Jamaica menawarkan percutian ke negara pulau Caribbean ini secara percuma kepada 33 pelombong yang baru saja diselamatkan selepas 69 hari terperangkap di dalam sebuah lombong di utara Chile.

Menteri Pelancongan Jamaica, Encik Edmund Bartlett, berkata pakej pelancongan percuma itu diberi juga kepada pasangan mereka serta anggota pasukan penyelamat yang bertungkus lumus menyelamat mereka.

'Ia salah satu cara untuk kami bersama-sama merai kejayaan 'keluarga' kami di Amerika Selatan itu,' katanya. -- Reuters.


PM Thai saksi kes rasuah parti

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, dijadualkan memberi keterangan di Mahkamah Perlembagaan hari ini sebagai saksi Parti Demokrat yang didakwa mengamalkan rasuah.

Parti itu didakwa membayar 23 juta Baht ($996,500) kepada firma iklan walaupun hanya dibenarkan menggunakan 19 juta baht untuk berkempen pada 2005.

Jika sabit kesalahan, Encik Abhisit boleh diharam daripada bidang politik dan partinya dibubar. -- AFP.


10 maut dek rempuhan di kuil

PATNA (India): Sekurang-kurangnya 10 orang mati dalam rempuhan di sebuah kuil di negeri Bihar, tempat ribuan penganut Hindu berkumpul semalm bagi satu festival tahunan.

Seramai 15 orang cedera dalam kejadian di luar kuil di daerah Banka, kira-kira 200 kilometer dari ibu negeri Patna, itu.

Sekitar 40,000 penganut Hindu berkumpul di situ bagi menyaksikan upacara penyembahan kambing. -- AFP.


Runding bebas askar Israel

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata semalam rundingan bagi pembebasan seorang askar Israel yang ditawan oleh Hamas di Gaza telah dimulakan.

Encik Gilad Shalit, 24 tahun, ditawan semasa serangan di sempadan pada Jun 2006.

Hamas menuntut pembebasan beratus tahanan Palestin sebagai ganti bagi pembebasan Encik Shalit. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini