NEW YORK (Amerika Syarikat): Iraq seharusnya menyiasat laporan-laporan bahawa askar-askarnya mendera tahanannya secara sistematik, kata kumpulan Human Rights Watch (HRW) dalam satu kenyatannya awal semalam, selepas dokumen-dokumen yang disiarkan oleh laman web WikiLeaks membutirkan penyalahgunaan kuasa oleh tentera Iraq.
Malah, katanya, 'pemerintah Amerika Syarikat juga harus menyiasat sama ada askar-askarnya melanggar undang-undang antarabangsa dengan memindahkan ribuan tahanan Iraq dalam penahanannya kepada Baghdad walaupun ada risiko penderaan yang jelas', tambah HRW.
Awal dari itu, di Baghdad, Perdana Menteri Iraq, Encik Nouri al-Maliki, menyelar pembocoran maklumat itu oleh WikiLeaks sebagai satu usaha memfitnah beliau, manakala pesaing beliau pula memetik dokumen-dokumen seitu bagai bukti bahawa beliau tidak layak memimpin.
Hampir 400,000 dokumen, termasuk laporan ketenteraan Amerika, mengenai dakwaan penderaan dan penyalahgunaan kuasa pihak keselamatan Iraq didedahkan WikiLeaks di lamannya baru-baru ini - dengan sesetengahnya berlaku selepas Encik Al-Maliki menjadi perdana menteri pada Mei 2006.
Pembocoran maklumat itu dibuat sedang beliau berusaha gigih mengekalkan jawatannya, hampir tujuh bulan selepas satu pilihan raya di Iraq gagal menghasilkan pemenang yang jelas.
Dalam kenyataannya, Pejabat Perdana Menteri Iraq menuduh WikiLeaks sengaja memperorak- perandakan negara itu dengan menyiarkan dokumen yang disebutnya sebagai digunakan 'terhadap parti dan pemimpin nasional, khususnya perdana menteri'.
Penyokong Encik Al-Maliki pula mempersoalkan waktu dokumen itu disiarkan.
'Waktu dokumen-dokumen itu (disiarkan) dirancang untuk menghasilkan satu pergolakan media yang bertujuan menjejas Iraq dan Perdana Menteri Iraq,' kata Encik Ali al-Moussawi, seorang Penasihat Perdana Menteri Iraq.
Di London, pengasas WikiLeaks, Encik Julian Assange, mempertahankan penyiaran 400,000 dokumen sulit tentera Amerika berhubung perang di Iraq itu sambil berkata ia mendedahkan 'kebenaran' mengenai konflik tersebut.
Dokumen-dokumen dari awal 2004 hingga 2009 itu menunjukkan sedutan gambaran menggerunkan tentang konflik itu, khususnya mengenai penderaan orang awam Iraq oleh pasukan keselamatan negara itu sendiri.
'Pendedahan-pendedahan terbaru itu menunjukkan penderaan di tangan pasukan keselamatan Iraq agak berleluasa dan tidak ditangani sama sekali,' kata Encik Joe Stork, Timbalan Pengarah (Timur Tengah) HRW.
'Jelas bahawa pihak berkuasa Amerika tahu mengenai penderaan sistematik oleh askar-askar Iraq tetapi mereka tetap menyerahkan ribuan tahanan itu,' tambahnya.
WikiLeaks membuat pendedahan fail-fail itu sejak beberapa minggu lalu kepada akhbar dan saluran televisyen tertentu yang dipilihnya, termasuk Al-Jazeera, Le Monde, The New York Times (NYT), Der Spiegel dan The Guardian.
Fail-fail dokumen itu disiarkan secara dalam talian Jumaat lalu. -- AFP, AP.
No comments:
Post a Comment