Pages

Wednesday, October 27, 2010

Hutang negara: Setiap rakyat tanggung RM14,000

KUALA LUMPUR: PAS merasa kesal terhadap pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.


Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna setiap rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

PAS, katanya menganggap bahawa hutang yang meningkat dengan mendadak kerana ketirisan dan rasuah.

Menurutnya, pendedahan Ketua Setiausaha Negara, mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun RM10 bilion.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan.

Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah.

Begitu juga dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah disediakan sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad.

Idris berkata, semuanya adalah contoh yang menunjukkan kegagalan kerajaan Umno BN yang akan digalas oleh rakyat Malaysia akibat kecuaian kerajaan pada hari ini menguruskan pentadbiran negara.

“Apakah ini merupakah sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara ini?” soalnya.

Tambahnya, pemimpin Umno di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah Umno dan BN, selain daripada BN maka tidak mampu untuk memerintah.

“Tidak hairanlah kepada kita apabila negeri yang diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa memikul bebanan hutang yang perlu dilangsaikan.

“Kerajaan baru perlu melunaskan hutang kerana kita ambil alih kerajaan, bukan ambil alih parti,” ujarnya.

Beliau menambah, pengalaman PAS di Kelantan terpaksa memikul hutang kerajaan BN sebanyak RM740 juta selama 12 tahun mereka memerintah Kelantan, begitu juga hutang kerajaan Kedah sebanyak RM2.3 bilion selama 51 tahun Umno BN memerintah.

Katanya, kebijaksanaan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang menguruskan kewangan dan cuba berusaha membayar balik hutang amat dikagumi oleh pegawai kerajaan Pusat.

“Apakah rakyat mahu membiarkan keadaan ini terus berlaku dan anak cucu kita yang akan menanggung derita pada masa akan datang?” tanya beliau.

Menurutnya, pemimpin Umno BN hanya pandai berbelanja dengan boros dan tidak serius untuk menentang rasuah dan membetulkan kepincangan.

Mereka, katanya lagi akan mengorek lombong-lombong yang masih ada, seperti Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan sebagainya.

“PAS menyeru rakyat supaya cukuplah memberi mandat kepada Umno BN yang mengkhianat rakyat dan masa depan anak cucu kita,” katanya. - Harakah

No comments:

Posting Terkini