Singapura ~ MAS Selamat Kastari telah merancang tindakannya dan 'sabar' menanti masa yang sesuai sebelum melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road (WRDC) pada 27 Februari 2008.
Ini didedahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, di Parlimen, semalam.
Penjelasan ini dibentangkan beliau beberapa minggu selepas pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Singapura itu diserahkan kerajaan Malaysia kepada pihak berkuasa republik ini.
Kata Encik Wong, Mas Selamat, 49 tahun, yang kini ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 'tahu tentang kelemahan ketara di WRDC' dan memanfaatkan peluang itu untuk melarikan diri - menerusi tingkap yang tidak berkunci dalam tandas di sebuah blok berlainan daripada yang sering digunakan bagi kunjungan pihak keluarga.
'Mas Selamat mendedahkan kepada para penyiasat, dia perhatikan adanya kerja-kerja ubah elok sedang berjalan di WRDC.
'Sememangnya satu ubah elok besar-besaran sedang dijalankan di WRDC masa itu bagi meningkatkan kemudahan lama bagi memuatkan dan mengurus para tahanan.
'Mas Selamat juga dedahkan, apabila dia dibawa untuk menggunakan tandas di blok yang berlainan dan telah diubah elok daripada blok yang biasa digunakan untuk kunjungan keluarga, dia perasan yang tingkap di salah satu bilik air itu tidak berjeriji.
'Menyedari kelemahan keselamatan yang ketara ini, dia aktif merancang melepaskan diri,' dedah Encik Wong.
Dia berbuat helah dengan menutup pintu tandas yang digunakannya dan membuka paip air.
Mas Selamat melakukan kesemua ini bagi membuatkan para pengawal yang menjaganya, 'berasa serasi' dengan kelakuannya setiap kali keluarganya datang berkunjung.
Pada hari dia melarikan diri, Mas Selamat telah dibawa keluar daripada bilik tahanannya ke sebuah bilik menukar pakaian untuk membolehkannya menukar pakaian WRDC-nya kepada pakaian biasa.
'Dia tidak membuka pakaian WRDC-nya, sebaliknya menyarung dua helai pakaian biasa di atas pakaian seragamnya itu - mula-mula dia sarung baju kurung warna hijau gelap dan seluar biru gelap, kemudian, baju kurung hijau muda dengan seluar kelabu. Dia mendakwa mengenakan tiga lapis pakaian,' dedah Encik Wong lagi.
Ayah lima anak itu, yang sebelum ini merancang meletupkan pesawat di Lapangan Terbang Changi, kemudian dibawa dua pengawal Gurkha ke Blok Lawatan Keluarga.
Sebelum menemui keluarganya, dia dibawa ke tandas tersebut.
'Dia pergi ke bilik air yang dia tahu tingkap pengalihan udaranya tidak berkunci. Seorang pengawal masuk ke tandas itu bersamanya sedang seorang lagi tunggu di luar.
'Mas Selamat berlagak seperti biasa, menggantung sepasang seluar di atas pintu tandas dan buka paip air.
'Dia kemudian menolak keluar tingkap yang tidak berkunci itu dan memanjat keluar daripada tandas itu menerusi tingkap tersebut.'
Sebaik berada di luar tandas, dia memanjat keluar menerusi pagar di kawasan berbukit dengan mencampak keluar bungkusan tisu tandas bagi mengurangkan kesan terjun.
'Selepas lolos dari WRDC, dia terus bergegas ke kawasan belukar dan membuang baju kurung hijau muda yang dipakainya bagi mengelak daripada dikesan kerana seorang pengawal sebelum itu telah melihatnya memakai pakaian tersebut.
Menurut Encik Wong, pendedahan Mas Selamat ini serupa dapatan Jawatankuasa Penyiasatan yang menyiasat bagaimana Mas Selamat dapat melepaskan diri daripada WRDC.
'Tentang bagaimana dia berjaya melarikan diri dari Singapura ke Malaysia, ia sedang disiasat,' kata Encik Wong sambil mendedahkan sepasukan penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) membuat siasatan bagaimana Mas Selamat melarikan diri dari WRDC sementara satu lagi pasukan penyiasat dan penganalisis dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sedang menyiasat dari sudut keselamatan dan memerangi pengganasan.
--------------------
SEKILAS KES
27 Februari 2008 - Mas Selamat melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road (WRDC) menerusi tingkap tandas.
1 Mac 2008 - Mas Selamat dipercayai berenang dari Woodlands ke Stulang Laut, Johor.
1 April 2009 - Ditangkap polis Malaysia di tempat persembunyian selama 13 bulan di Kampung Tawakal, Skudai, Johor.
April 2009 - Ditahan kerajaan Malaysia selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting, Perak.
24 September 2010 - Diserahkan kepada pemerintah Singapura dan kini ditahan di bawah ISA di WRDC.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment