Pages

Tuesday, October 19, 2010

Saudi beri amaran Al-Qaeda rancang serang Eropah

PARIS: Perkhidmatan perisikan Arab Saudi memberi amaran bahawa Al-Qaeda merancang melancarkan serangan ke atas Eropah, terutama Perancis, kata Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Brice Hortefeux, kelmarin.

'Al-Qaeda di Semenanjung Arab (Aqap) tidak syak lagi aktif atau bercadang bergiat aktif di Eropah, terutama di Perancis,' kata beliau dalam satu wawancara televisyen dan radio.

Menurutnya, amaran itu diterima 'beberapa jam atau beberapa hari lalu'.

'Ini bukan hendak membesar-besarkan ancaman atau meremehkannya. Ancaman itu benar wujud,' kata beliau kepada Radio RTL.

Aqap, salah satu sayap Al-Qaeda yang dipercayai dianggotai rakyat Yaman dan Saudi, telah meningkatkan serangan ke atas sasaran Yaman dan Barat sejak ia mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang gagal ke atas pesawat Northwest Airlines di Detroit, Amerika Syarikat, pada Disember tahun lalu.

Amaran Arab Saudi itu merupakan yang terbaru daripada sejumlah amaran yang menyebabkan pasukan keselamatan Perancis diletak dalam keadaan berjaga-jaga.

Pada 9 September lalu, Interpol membayangkan kemungkinan 'terdapat ancaman daripada kumpulan pelampau antarabangsa, terutama di benua Eropah,' kata Encik Hortefeux tanpa memberikan butir lanjut.

Ini disusuli laporan pada 16 September lalu mengenai seorang pengebom nekad wanita yang mungkin melancar serangan di Perancis, tetapi kemudian ternyata tidak benar.

Sumber perisikan di Afrika Utara, seperti juga Amerika Syarikat, telah menghubungi Perancis mengenai kemungkinan ancaman itu.

Encik Hortefeux berkata beliau telah berbincang dengan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Cik Janet Napolitano, mengenai perkara itu.

Ini kali pertama seorang pegawai Perancis memberi butir terperinci mengenai ancaman keselamatan sejak pertengahan bulan lalu apabila para pegawai mendedahkan tentang kemungkinan Perancis menjadi sasaran serangan kumpulan radikal.

Bulan lalu beberapa tempat yang menjadi tumpuan pelancong seperti Gereja Notre Dame dan Menara Eiffel di Paris telah dikosongkan selepas menerima amaran palsu.

Sumber ancaman disyaki Al-Qaeda di wilayah Islam Maghreb (Aqim), satu lagi serpihan Al-Qaeda yang bergiat aktif di Algeria dan kawasan Sahel di Afrika, yang menculik lima rakyat Perancis pada 16 September lalu. -- AP, AFP.





No comments:

Posting Terkini