Pages

Monday, September 6, 2010

Zam zam di Masjid Nabawi dicampur air biasa?


MADINAH: Seorang pegawai di Masjid Nabawi menolak dakwaan kononnya air zam zam di masjid berkenaan dicampur dengan air biasa.

Pengarah Penyelenggara dan Air masjid itu, Encik Ibrahim bin Mayed, berkata laporan mengenai perkara itu tidak berasas.

Beliau mengulas dakwaan yang berkata, air biasa dicampur dengan air zam zam yang dihantar ke Madinah dari Makkah.

Katanya, ia tidak mungkin boleh berlaku memandangkan air zam zam melalui beberapa peringkat untuk membolehkan ia sesuai diminum sebelum dihantar ke Masjid Nabawi (gambar).

Encik Ibrahim berkata air itu dibersihkan menggunakan sinar ultraungu.

Contoh air diuji di makmal bagi memastikan ia bebas daripada sebarang bakteria berbahaya dan mengikut spesifikasi kesihatan.

Selain itu, air zam zam juga diambil daripada beberapa kawasan, termasuk stesen pengepam dan pengagihan.

Sampel secara rambang juga diambil dari mesin pendingin air.

Semuanya diuji secara menyeluruh di makmal kualiti bagi memastikan ia selamat untuk diminum dan tidak tercemar atau bercampur dengan air biasa.

Encik Ibrahim juga menjelaskan, pentadbiran Masjid Nabawi menyediakan 220 tan air zam zam di lebih 12,000 mesin pendingin air untuk kegunaan pengunjung setiap hari.

Sebagai tambahan, lebih sejuta cawan pakai buang disediakan setiap hari di masjid itu.

Lori tangki yang digunakan untuk mengangkut air itu dari Makkah ke Madinah juga dibersihkan sebelum diisi dengan air zam zam.

Apabila tiba di Madinah, sampel air itu sekali lagi diperiksa sebelum dipam ke tangki bawah tanah.

Tangki itu juga dipastikan kebersihannya.

'Ini membuktikan tidak ada kemungkinan air zam zam itu bercampur air biasa atau tercemar,' kata Encik Ibrahim.

Sementara itu, pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah, kelmarin merasmikan projek perluasan sistem pengagihan air zam zam di daerah Kuday, Makkah.

Projek berkenaan bernilai AS$187 juta ($251 juta).

Menteri Air dan Elektrik, Abdullah Bin Abdul Rahman Al-Hussein, berkata pusat penapisan yang diperluaskan itu boleh menapis lima juta liter sehari. -- Agensi


1 comment:

udanggalah said...

Salam...kalau benar berlaku namanya bukan lagi ZAM-ZAM tapi zombi...tak de khasiat...

Posting Terkini