Pages

Friday, September 3, 2010

Pamer logo halal tapi jual minuman keras


HALAL YANG MERAGUKAN: Pekerja premis salah sebuah gerai makanan di Pavillion, Kuala Lumpur, sedang menanggalkan logo 'halal' digerainya itu selepas serbuan pihak berkuasa kelmarin. -- Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Sebuah restoran makanan India di medan selera pusat beli-belah Pavilion di sini diragui status halalnya kerana menyediakan minuman keras walaupun mempamerkan logo halal.

Lebih memeranjatkan, logo halal yang dipamerkan tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, lebih 20 premis menjual makanan di medan selera terbabit turut menggunakan sijil halal yang tidak diiktiraf jabatan berkenaan.

Penolong Pengarah Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Encik Mohd Amri Abdullah, berkata sijil halal yang dikeluarkan Bahtera Lagenda Sdn Bhd itu tidak diiktiraf Jakim sejak 2004.

'Kesemua premis makanan di medan selera ini diragui status halalnya kerana menggunakan sijil yang tidak diiktiraf Jakim, malah sebuah premis yang menjual daging itik turut diragui walaupun mempunyai logo halal,' katanya kelmarin.

Sebelum itu, beliau membuat pemantauan dan pemeriksaan di medan selera terbabit setelah mendapat laporan daripada orang ramai yang meragui logo halal di situ.

Ketika pemeriksaan dilakukan di premis menjual daging itik itu, wakil pengurusan medan selera Food Republic bertindak mengarahkan semua premis di medan selera itu menurunkan sijil halal yang dipamerkan bagi mengelak diperiksa.

Encik Mohd Amri berkata, pengguna perlu berhati-hati ketika menjamu selera di medan selera itu, kecuali di gerai-gerai makan yang memiliki logo dan sijil halal yang dikeluarkan Jakim.

Ia dikesan selepas Jakim melakukan serbuan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, di medan selera pusat beli-belah terkemuka dan bertaraf enam bintang itu, di Bukit Bintang, kira-kira 3 petang kelmarin.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima beberapa aduan pelanggan terutama pelancong dari Timur Tengah berhubung status hidangan yang disajikan di medan selera terbabit.

'Hasil siasatan Unit Syariah PPIM, kebanyakan premis makanan di medan selera itu menggunakan sijil halal yang dikeluarkan sebuah syarikat swasta,' katanya sambil menambah bahawa syarikat terbabit antara enam syarikat yang ditolak sebuah majlis agama Islam negeri berhubung kesahihan sijil halal keluarannya. -- BHM, Harian Metro.


No comments:

Posting Terkini