GHAIRAH BERKEMPEN: Calon-calon ghairah berkempen di Tabaco, di kawasan tengah Filipina. -- Foto REUTERS
Isnin ini, rakyat Filipina akan keluar mengundi bagi memilih Presiden baru mereka. Siapakah calon-calon utama yang bertanding bagi menggantikan Cik Gloria Arroyo? Apa butir-butir menarik berkaitan pilihan raya yang turut menawarkan sekitar 17,000 kerusi lain, selain jawatan Presiden? Ikuti laporan berikut yang disusun SUHANA A. SAMAT.
Anak Aquino diramal menang besar
JIKA tinjauan sokongan terbaru boleh dipercayai, Senator Benigno Aquino, 50 tahun, anak lelaki hero demokrasi, mendiang Corazon Aquino, diramalkan menang besar dalam Pilihan Raya Presiden Isnin ini.
Menurut tinjauan Social Weather Stations semalam, beliau meraih 42 peratus sokongan pengundi berbanding dengan dua pencabarnya, Senator Manny Villar, dan mantan Presiden, Encik Joseph Estrada.
Encik Estrada berada di tempat kedua dengan 20 peratus dan Encik Villar mendapat 19 peratus.
Dengan kepalanya yang semakin botak dan memakai cermin mata, para pengkritik pada awalnya menyifatkan Encik Aquino, yang masih bujang pada usia 50 tahun, sebagai seorang ahli politik yang tidak berkarisma.
Walaupun sudah 11 tahun menjadi ahli Parlimen, Encik Aquino dikatakan tidak menunjukkan pencapaian yang ketara.
Namun, beliau mengejutkan pencabarnya yang lain apabila mendahului dalam tinjauan penyokong menjelang Pilihan Raya Presiden.
Kebangkitan populariti Encik Aquino mencerminkan betapa dahaganya rakyat Filipina dalam mencari seorang pemimpin yang bermoral tinggi di tengah-tengah gejala rasuah, kemiskinan dan keganasan.
'Ibu bapa saya merupakan suri contoh saya. Mereka boleh memilih untuk hidup mewah, tutup mata, pekakkan telinga dan tutup mulut dan lupakan hakikat bahawa ramai rakyat Filipina telah diabaikan.
'Sebaliknya, mereka memilih untuk melalui onak berduri dan membuat pengorbanan yang perit,' kata Encik Aquino kepada para penyokong dalam satu rapat kempen Ahad lalu.
Encik Aquino merupakan satu-satunya anak lelaki antara lima anak Cik Corazon Aquino dan suaminya, Encik Benigno Aquino Senior.
Kedua ibu bapanya dihormati di Filipina ekoran perjuangan mereka menentang diktator, Encik Ferdinand Marcos.
Penyerang bersenjata Encik Marcos menembak mati Encik Benigno Aquino Senior di lapangan terbang Manila pada 1983, sedang beliau cuba kembali selepas hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Kematiannya mengangkat status beliau sebagai seorang hero.
Cik Aquino kemudian menjadi pemimpin bagi gerakan demokrasi yang mengguling Encik Marcos semasa revolusi 'kuasa rakyat' pada 1986.
Cik Aquino menjadi Presiden Filipina selama enam tahun dan mempunyai reputasi sebagai seorang pemimpin yang jujur.
Kematian Cik Aquino tahun lalu sebab barah juga dilihat sebagai mangkin bagi kebangkitan anaknya dalam arena politik.
Reputasi itu yang ingin ditonjolkan oleh Encik Aquino dalam kempennya.
Beliau, yang sering menekankan imej bersihnya semasa berkempen, berjanji untuk menentang rasuah jika menang.
Seorang pemandu, Encik Ernesto del Rosario, 62 tahun, merupakan salah seorang pengundi yang bakal mengundi Encik Aquino.
'Keadaan rasanya seperti pemberontakan (1986). Tetapi isunya sekarang bukannya Marcos. Ianya mengenai usaha menentang rasuah dan membantu golongan miskin mendapat pekerjaan,' katanya.
Ditanya mengapa Encik Aquino menjadi pilihannya, beliau berkata:
'Beliau akan serupa seperti ibu bapanya. Beliau tidak akan menjadi pengacau kepada masyarakat.'
Saturday, May 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment