Pages

Thursday, May 6, 2010

Sultan Kelantan dihalang ke S'pura jalani pemeriksaan doktor

KOTA BHARU: Sultan Kelantan 'dihalang' ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan lanjut tahap kesihatan beliau di Hospital Mount Elizabeth.

Malah, pesawat yang disewakan khas bagi menerbangkan Tuanku Ismail Petra dikatakan tidak mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Beliau dijadual berangkat sekitar 11.30 pagi kelmarin.

Namun, ia terus tertangguh beberapa kali dan akhirnya pihak media dimaklumkan ada usaha membawa Tuanku Ismail dengan pesawat komersial.

Berikutan itu, sekitar 7.30 malam, beliau dibawa keluar daripada Istana Mahkota di sini ke lapangan terbang bagi menaiki pesawat yang dijadual berlepas pada 7.50 malam ke Kuala Lumpur, sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura pada 10.30 malam.

Turut bersama dalam kenderaan yang bakal mengiringi Sultan ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, bersama tiga doktor.

Namun, kenderaan itu dikatakan dihalang oleh anggota pasukan keselamatan yang berkawal di pekarangan istana dan kemudiannya diiringi menuju ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini.

Putera ketiga Tuanku Ismail, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang berada dalam sebuah kenderaan berasingan bersama beberapa pengawal peribadi tidak dibenarkan mengiringi kenderaan membawa ayahnya.

Tengku Muhammad Fakhry sebelum itu mendakwa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang dan mungkin agensi-agensi kerajaan yang lain bagi menghalang Tuanku Ismail dibawa ke Singapura.

Bercakap kepada pemberita, beliau percaya arahan itu atas perintah mereka yang menggunakan agensi kerajaan walaupun permohonan pelepasan dan pendaratan telah dibuat lebih awal.

'Tujuan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan ke Singapura adalah untuk mendapat rawatan susulan yang telah diatur oleh doktor pakar yang merawat Tuanku semasa di sana,' jelas beliau.

Beliau menjelaskan keberangkatan Tuanku juga adalah atas pembiayaan peribadi dan bukan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Menyusuli kenyataan itu, Tengku Muhammad Fakhry, bersama dua doktor serta lima pengawal peribadinya telah ditahan polis tetapi dibebaskan sekitar 10.30 malam kelmarin.

Tuanku Ismail dijadualkan berada di Singapura bagi menjalani pemeriksaan selama 10 hari.

Beliau, yang mengalami masalah jantung mendapat rawatan di hospital tersebut pada 24 Mei tahun lalu sebelum berangkat pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian 4 Mac lalu.

Sepanjang ketiadaan baginda, konflik berlaku dalam keluarga istana dan ia terus memuncak sekembalinya baginda ke negeri ini dan tahap kesihatan baginda masih menjadi persoalan.

Difahamkan Tuanku Ismail dimasukkan ke HUSM atas pilihan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, bagi menjalani rawatan susulan. -- Agensi.





No comments:

Posting Terkini