Singapura - MENTERI Kanan, Encik Goh Chok Tong, membayangkan bahawa Singapura mampu berdikari dari segi mendapatkan sumber airnya sendiri sekiranya perjanjian air dengan Malaysia tidak diperbaharui pada tahun 2061 kelak.
Ini memandangkan Singapura telah melaksanakan pelbagai usaha dalam mendapatkan sumber airnya sendiri, termasuk mengembangkan kawasan tadahan air negara ini dan menambah pengeluaran air Airbaru atau NEWater.
Berucap semasa merasmikan Loji NEWater Sembcorp di Changi East Close, semalam, Encik Goh berkata pemerintah akan terus mengembangkan keupayaan penghasilan NEWater sebanyak 75 juta gelen air sehari (mgd) bagi menepati 40 peratus keperluan air republik ini menjelang 2020.
Loji baru itu, yang kelima dan terbesar sejauh ini, mampu mengeluarkan 50 mgd, sekali gus membolehkan NEWater menepati 30 peratus keperluan air negara.
Sebahagian besar permintaan untuk Airbaru datangnya daripada perusahaan seperti pengeluaran semikonduktor dan wafer dan hanya sekitar 2 hingga 3 peratus sahaja jumlahnya disalurkan ke kolam air setempat.
'Dengan NEWater, kita telah meraih kejayaan besar dalam menggunakan semula air. Kita telah menyambungkan gelung air dan menunjukkan bagaimana penggunaan semula air membentuk sebahagian jalan huraian yang berkekalan untuk menepati keperluan air,' kata Encik Goh.
Dalam ucapannya, Encik Goh berkata Singapura tidak akan memperbaharui perjanjian air yang pertama dengan Malaysia apabila ia tamat tahun depan.
Menurut Encik Goh, Singapura bakal mengembangkan rangkaian kawasan tadahan airnya daripada separuh kepada dua pertiga keluasan negara ini apabila Kolam Air Marina dan Kolam Air Punggol-Serangoon siap sepenuhnya.
'Dengan usaha bersepadu, pemerintah berharap meningkatkan saiz tadahan air kepada 90 peratus kawasan tanah Singapura,' kata Encik Goh.
Loji NEWater Sembcorp dibina syarikat kejuruteraan tempatan, Sembcorp, di atas Loji Pemulihgunaan Air Changi (CWRP) dengan kos $180 juta.
Ia dibina di bawah skim Reka, Bina, Milik dan Kendal (DBOO) yang diraih menerusi taruhan terbuka Lembaga Perbekalan Awam (PUB) pada Januari 2008 dan memiliki kontrak membekalkan air selama 25 tahun.
Semasa sesi soal jawab media, Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Perniagaan Kumpulan dan Strategik, Encik Tan Cheng Guan, berkata beliau menjangkakan permintaan NEWater daripada pihak industri meningkat.
'Hanya separuh ruang bumbung CWRP digunakan bagi membina loji ini. Separuh lagi masih kosong, membolehkannya untuk dikembangkan,' kata Encik Tan.
Ditanya sekiranya tarif air bakal dinaikkan menyusuli pembinaan loji ini, Pengarah Rangkaian 3P PUB, Encik Yap Kheng Guan, berkata sejauh ini pihaknya belum ada rancangan.
'Namun kita perlu melihat pada jumlah (air yang digunakan) agar harga air dapat disesuaikan,' kata Encik Yap.
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment