PUTRAJAYA, 4 Mei — Bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Haniff Omar adalah antara lapan anggota panel khas yang ditubuhkan bagi memantau siasatan berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis akhir bulan lepas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop, yang juga pengerusi panel itu, berkata anggota panel lain ialah tiga anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pensyarah dan pakar jenayah bebas.
Tiga anggota Suhakam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Datuk Dr Michael Yeoh, Datuk Seri Muhammad Shafee (peguam) dan Datuk Dr Denison Jayasooria (aktivis).
Dua lagi anggota panel ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Datuk Abd Halim Sidek dan penganalisis jenayah Kamal Affandi manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ahmad Fuad Ab Aziz sebagai setiausaha panel.
“Penubuhan panel khas ini untuk memantau secara langsung proses penyiasatan oleh polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus, pantas, tidak tertangguh dan menjamin keadilan kepada semua pihak terlibat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama panel khas itu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi 26 April lepas, Aminulrasyid Amzah mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri ketika ingin ditahan di Seksyen 11, Shah Alam.
Abu Seman berkata panel khas itu akan memaklumkan hasil siasatan secara tepat dan telus kepada orang ramai bagi mengelakkan mereka mendapat maklumat daripada sumber yang tidak sahih.
“Kami minta semua pihak menunggu hasil pemantauan siasatan dan tidak berterusan membuat spekulasi berkaitan insiden itu bagi mengelakkan salah tanggapan terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Abu Seman berkata panel khas itu juga telah menemuduga beberapa pegawai penyiasat berhubung insiden itu dan setakat ini, berpuashati dengan penjelasan mereka dan akan membuat lawatan ke tempat kejadian di Shah Alam, malam ini.
Beliau berkata panel khas itu, yang akan mengadakan mesyuaratnya sekali seminggu pada setiap Jumaat, akan memanggil saksi-saksi jika merasakan ada yang tidak kena daripada siasatan yang dijalankan oleh polis.
Beliau berkata panel khas itu juga akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) pasukan keselamatan itu serta modul-modul latihan sedia ada berkaitan tugas mereka.
“Jika perlu ada penambahbaikan, panel khas ini akan membuat cadangan termasuk berkaitan penggunaan senjata api oleh anggota polis semasa bertugas,” katanya. — Bernama
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment