BEIJING: Puting beliung dan angin kencang yang melanda kawasan barat daya China mengorbankan 25 jiwa dan mencederakan lebih 150 orang, sekitar dinihari semalam, kata satu laporan media.
Beberapa rumah roboh di bandar Chongqing. Namun, jumlah sebenar masih belum terhitung, kata seorang pengarah bantuan bencana di Biro Ehwal Sivil, Chongqing.
Pengarah itu, yang ingin dikenali sebagai Encik Ma, mempertikaikan satu laporan dalam talian laman China News bahawa 1,000 rumah telah runtuh.
'Jelas, ia tidak sebanyak itu,' ujar beliau.
Namun, menurut akhbar People's Daily, yang juga merupakan suara rasmi Parti Komunis yang memerintah China, sehingga 1,000 rumah dalam enam kawasan bandar sekurang-kurangnya roboh ditiup angin kencang itu, manakala ribuan lagi rosak.
Stesen televisyen China Central Television (CCTV), dalam siaran tengah harinya, bagaimanapun berkata perangkaan kematian telah meningkat kepada 25 orang.
Agensi berita rasmi Xinhua News Agency pula berkata lebih 150 orang cedera.
Telefon-telefon di pejabat akhbar bagi pemerintah Chongqing berdering tanpa sebarang jawapan pada tengah hari semalam.
Difahamkan, para pegawai pemerintah biasanya keluar makan pada waktu tersebut.
Xinhua berkata puting beliung melanda kawasan berkenaan sekitar 2 pagi dan meragut naywa para penduduk di daerah Dianjiang dan Liangping.
'Puting beliung belum pernah berlaku di sini sebelum ini - inilah kali pertamanya,' kata Encik Liu Fang, seorang pegawai perbandaran di daerah Liangping. Ia antara kawasan yang paling teruk dijejas bencana alam itu, katanya kepada agensi berita AFP menerusi telefon.
Mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital-hospital setempat, manakala khemah-khemah didirikan bagi mereka yang kehilangan rumah, kata Encik Li.
Hujan lebat turun di seluruh wilayah berkenaan sejak puting beliung melanda, tambahnya.
Seorang pegawai di kawasan perbandaran Xinmin, pula memberitahu AFP bahawa rumah-rumah yang lebih usang mengalami kerosakan 'yang amat serius'. Ada diantaranya yang roboh. Rumah-rumah baru yang diperbuat daripada batu bata juga turut rosak.
'Kami masih mengumpulkan maklumat mengenai bencana itu,' kata seorang pegawai.
Bekalan kuasa juga terputus di beberapa kawasan, manakala beberapa jalan raya ditutup dan jambatan-jambatan mengalami kerosakan, kata laporan yang sama.
Kos kerosakan dalam enam kawasan perbandaran itu dijangka melebihi 20 juta yuan ($4.1 juta), tambahnya. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment