Pages

Tuesday, May 4, 2010

Pemimpin Taleban Pakistan ikrar serang AS

ISLAMABAD: Pemimpin kumpulan Taleban di Pakistan, Hakimullah Mehsud, berikrar akan menyerang bandar-bandar utama Amerika Syarikat dalam dua video terbarunya, yang didakwa dikeluarkan beberapa bulan selepas berita mengenai kematiannya dalam satu serangan misil Amerika di Pakistan.

Mehsud mengancam akan bertindak balas dalam masa sebulan terhadap Amerika kerana membunuh para pemimpin kumpulan militan itu, dalam video sembilan minit itu, yang didakwa dihasilkan pada 4 April lalu.

Dia didakwa terbunuh pada Januari lalu.

'Masanya amat dekat apabila fedayeen (pejuang kebebasan) kami menyerang wilayah-wilayah Amerika di bandar-bandar utamanya,' kata Mehsud, yang diapit dua lelaki bersenjata dan bertopeng muka dalam video yang disiar oleh laman kumpulan pemantau, SITE Intelligence Group dan IntelCenter.

Ia video pertama yang memaparkan Mehsud sejak Januari lalu dan disiarkan selepas satu dakwaan oleh kumpulan milita Tehreek-e- Taleban Pakistan (TTP) pimpinannya bahawa ia bertanggungjawab di atas percubaan gagal menggunakan sebuah kereta untuk meletupkan Dataran Time di bandar New York Sabtu lalu.

Mehsud dilaporkan terbunuh dalam satu serangan pesawat Amerika di wilayah barat daya Pakistan pada 14 Januari lalu, tetapi kumpulan militannya menafikan dia terbunuh. Para pegawai risikan Pakistan minggu lalu berkata dia terselamat dalam serangan itu.

Pemimpin kumpulan militan itu, yang mengambil alih kepimpinan TTP sejak Ogos tahun lalu, mencemuh laporan-laporan mengenai kematiannya itu, sambil menyifatkannya sebagai satu 'pembohongan terang-terangan dan propaganda oleh golongan kuffar (kafir)'.

'Insya-Allah, dalam masa amat terdekat atau sebulan, umat Islam akan melihat hasil daripada serangan-serangan para fedayeen kami yang berjaya di Amerika,' kata Mehsud.

Dia membuat kenyataan sama dalam satu pesanan audio dalam satu lagi video TTP semalam, yang kelihatan dirakam pada 19 April lalu dan memapar wajah Mehsud di sebelah sebuah peta Amerika yang menunjukkan pelbagai letupan berlaku di seluruh negara itu.

IntelCenter, kumpulan berpangkalan di Amerika yang memantau laman-laman web kumpulan militan, berkata dipercayai semua video TTP yang disiarkan sejak peristiwa bom kereta di New York itu boleh dipercayai.

'Pada penilaian kami ia boleh dipercayai dan terdapat satu ancaman tinggi tentang berlaku lebih banyak serangan seperti serangan di New York dalam masa beberapa hari dan minggu yang bakal menjelang,' katanya.

Para pegawai Amerika awal dari itu menolak dakwaan TTP bahawa ia terlibat dalam percubaan serangan di New York itu. -- AFP.



No comments:

Posting Terkini