Pages

Monday, May 3, 2010

Pembantah akan 'rugi' jika enggan undur

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, semalam memberi amaran kepada penunjuk perasaan antikerajaan bahawa mereka akan mengalami 'kerugian' jika enggan berundur dari kawasan beli-belah Bangkok.

Kumpulan Baju Merah, bagaimanapun, enggan berganjak sepenuhnya walaupun ia bersetuju mengalihkan pengadang sekitar 200 meter bagi membenarkan kereta memasuki kawasan itu untuk ke sebuah hospital setempat.

Khamis lalu, segelintir penyokong Baju Merah yang diketuai oleh Encik Payap Panket cuba menceroboh Hospital Chulalongkorn yang terletak berdekatan 'perkampungan' Baju Merah kerana mengesyaki hospital itu dijadikan lokasi kerajaan menyimpan pasukan tentera dalam usaha menggempur penunjuk perasaan antikerajaan itu.

Kejadian tersebut menyebabkan pihak hospital terpaksa memindahkan kira-kira 1,000 pesakit atas alasan keselamatan.

'Mulai sekarang, apa yang kerajaan akan lakukan mungkin boleh mencetuskan pertempuran dan kerugian tetapi kerajaan tahu apa yang ia lakukan.

'Apa yang perlu dilakukan harus dilakukan,' kata Encik Abhisit dalam ucapan mingguannya yang disiarkan di televisyen semalam.

Encik Abhisit, bagaimanapun, tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'kerugian' itu.

Seorang pemimpin Baju Merah, Encik Nattawut Saikua, berkata:

'Jika beliau (Encik Abhisit) ingin mengambil tindakan, kami sudah bersedia menghadapinya.'

Kabinet Thailand telah mengadakan mesyuarat tergempar semalam bagi membincangkan keadaan penunjuk perasaan jalanan antikerajaan yang masih belum reda sehingga mengakibatkan kebanyakan tempat di ibu kota negara itu disekat dan seterusnya menimbulkan kebimbangan ketidakstabilan di seluruh negara itu.

Proses rundingan antara penunjuk perasaan dengan kerajaan ketika ini ditangguhkan dan harapan ia dapat ditamatkan kelihatan semakin pudar.

Gesaan pembabitan pihak ketiga dalam kalangan masyarakat antarabangsa pula semakin meningkat.

Krisis yang telah memasuki minggu kelapan itu menyebabkan sebahagian daripada Bangkok lumpuh.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan hampir 1,000 yang lain cedera ekoran kejadian keganasan antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa negara itu.

Semalam, Encik Abhisit berkata buat masa ini undang-undang tentera tidak diperlukan bagi menamatkan krisis itu.

'Sejauh ini, berdasarkan apa yang telah kami bincangkan, kami (kerajaan dan pihak tentera) berpendapat keadaan sekarang tidak mewajarkan undang-undang tentera,' katanya. -- AFP, AP, Reuters.



No comments:

Posting Terkini