Pages

Thursday, April 1, 2010

Wanita cacat mati kebuluran

WELLINGTON (New Zealand): Seorang wanita cacat yang mencetuskan perdebatan mengenai hak untuk membunuh diri telah meninggal dunia selepas tidak makan selama 16 hari, kelmarin.

Cik Margaret Page, 60 tahun, mengalami kecacatan yang teruk selepas mengalami pendarahan otak pada 1991.

Beliau memerlukan bantuan untuk makan dan mandi serta terpaksa diletakkan di sebuah pusat penjagaan pada 2001.

Minggu lalu, Cik Page memberitahu akhbar Dominion Post bahawa beliau tidak mahu hidup lagi dan enggan makan, kecuali minum sedikit air.

Ketua Eksekutif pusat penjagaan yang menempatkan Cik Page, Encik Ralph La Salle, berkata kakitangan dan pesakit lain di situ sangat sedih atas pemergiannya kelmarin.

'Cik Page telah membulatkan tekadnya untuk tidak makan sehingga ke akhir hayatnya,' kata beliau.

Para penduduk di New Zealand yang masih waras mempunyai hak untuk tidak makan atau tidak menerima rawatan perubatan.

Namun kes Cik Page telah menimbulkan semula perbahasan mengenai hak seseorang memilih untuk mati.

Di bawah undang-undang New Zealand, adalah satu kesalahan membantu seseorang membunuh diri.

Minggu lalu, suami Cik Page, Encik Barry Page, berkata isterinya sepatutnya dimasukkan ke hospital dan dipaksa makan, kerana beliau memerlukan rawatan untuk kemurungan.

Penggerak kempen eutanasia di Australia, Encik Philip Nitschke, menyifatkan kematian Cik Page sebagai satu tragedi.

Menurut beliau, seseorang harus mempunyai hak menamatkan hayat masing-masing tetapi dengan cara yang paling kurang traumatik. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini