Pages

Thursday, April 1, 2010

Muslim Britain rasa diintip melalui skim

LONDON: Masyarakat Islam Britain merasakan mereka diintip ekoran skim kerajaan yang bertujuan mengekang pengganasan.

Menurut satu laporan jawatankuasa yang dianggotai oleh Ahli Parlimen, masyarakat Islam berkata skim yang diberi nama Mencegah itu telah menyebabkan mereka rasa terasing dan distigma.

Laporan itu turut mengecam para menteri Britain kerana terlalu taksub dengan pendirian bahawa asal usul seseorang itu merupakan antara punca seseorang itu menjadi radikal. Sebaliknya, 'bukti menunjukkan bahawa dasar luar negeri, pengasingan dan tindakan tidak memberi hak' juga memainkan peranan penting.

Skim Mencegah merupakan sebahagian daripada strategi antipengganasan kerajaan dan bertujuan menyekat masyarakat setempat daripada menyokong pengganasan.

Pengerusi Jawatankuasa Dewan Rakyat dan Kerajaan Tempatan, Encik Phyllis Starkey, berkata:

'Ramai saksi dengan jelas berkata mereka percaya skim Mencegah ini telah digunakan untuk mengintip masyarakat Islam.

'Maklumat yang diperolehi untuk menguruskan skim Mencegah ini telah dikelirukan dengan pengumpulan bahan perisikan yang dilakukan oleh polis untuk menangani jenayah dan pemantauan yang dikendalikan oleh perkhidmatan keselamatan untuk mencari suspek pengganasan secara aktif.

'Tuduhan bahawa skim Mencegah ini digunakan untuk mengintip akan kekal dirasai di kalangan masyarakat Islam sehingga kerajaan mengarahkan satu siasatan bebas dijalankan ke atas tuduhan ini,' katanya.

Beberapa penduduk Islam juga percaya kerajaan sedang cuba mempromosikan Islam sederhana, dengan hanya menyokong kumpulan-kumpulan yang mempamerkan pendirian serupa itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kerajaan Tempatan dan Masyarakat berkata 'tiada bukti kukuh' yang menunjukkan program di bawah skim Mencegah itu bertujuan memantau pergerakan masyarakat Islam.

Beliau menarik perhatian bahawa lebih banyak dana telah diperuntukkan di bawah projek itu untuk 'menangani golongan pelampau kulit putih' juga.

Namun, jurucakap parti pembangkang Demokrat Liberal, Encik Chris Huhne, berkata program itu 'memburukkan lagi pandangan jahil dan berat sebelah tentang perkauman'.

'Semua orang mahu menangani Islam radikal tetapi ini tidak bermakna kita patut mengumpul dan menyimpan bahan risikan orang yang tidak bersalah.' - AFP.





No comments:

Posting Terkini