Pages

Wednesday, March 3, 2010

Ribut Xynthia ragut 51 jiwa di Perancis

PARIS: Pekerja penyelamat, yang menggunakan bot getah, kelmarin meredah jalan-jalan yang ditenggelami air untuk menyelamatkan mangsa banjir yang masih terperangkap di bandar L'Aiguillon-sur-Mer dan L'Ile de Re, di pesisir Lautan Atlantik, Perancis.

Ribut Xynthia yang melanda Perancis Ahad lalu, menyebabkan dua bandar itu ditenggelami air, rumah- rumah rosak dan sejuta penduduk terputus bekalan elektrik.

Ia turut melanda Belgium, Portugal, Sepanyol dan sebahagian Jerman, menyebabkan perkhidmatan kereta api dan pesawat tergendala.

Sejauh ini, ribut Xynthia mengorbankan 62 orang di Eropah Barat.

Hujan lebat, dengan angin sekencang 160 kilometer sejam dan ombak besar, menyebabkan banyak benteng laut pecah di wilayah Vendee dan Charente Maritime.

Ramai penduduk terkejut daripada tidur dan mendapati rumah mereka sudah ditenggelami air.

Para mangsa kini ditempatkan di kediaman sementara dan mereka yang cedera diterbangkan ke hospital terdekat.

Angka korban di Perancis meningkat kepada 51 orang Isnin lalu, tetapi lapan orang masih hilang, kata jurucakap pertahanan awam, Leftenan Kolonel Patrick Vailli.

Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, kelmarin melawat kawasan yang teruk terjejas di wilayah Vendee dan Charente-Maritime dan mengikrarkan bantuan darurat berjumlah tiga juta euro ($5.7 juta).

Beliau tururt melawat bandar L'Aiguillon-sur-Mer, yang terjejas teruk, tempat 25 mayat dijumpai selepas benteng laut pecah, menyebabkan banjir kilat ketika mangsa sedang tidur.

Encik Sarkozy mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan Ekologi menyiapkan laporan bagaimana benteng boleh pecah semasa ribut dan menyerah laporan dalam tempoh 10 hari.

Pemerintah telah mengisytiharkan darurat bencana bagi membolehkan para mangsa mendapatkan pampasan, selain mendapatkan bantuan Kesatuan Eropah bagi wilayah tersebut. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini