Pages

Thursday, February 25, 2010

Mahkamah Tolak Semakan Keputusan Peroleh Bukti Utama

Seperti diduga, permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak keputusan mahkamah yang sebelum ini menolak permohonan memperoleh bukti utama perbicaraan kes konspirasi kedua, ditolak Mahkamah Persekutuan sebulat suara.

Antara bukti utama yang diperlu pasukan pembelaan bagi menjamin perbicaraan berjalan secara adil ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan perubatan dan kenyataan saksi pendakwa.

Semakan itu didengar panel tiga hakim diketuai Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Mohd Yusof.

Mengulas keputusan itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh meluahkan kekesalannya kerana semakan itu hanya didengar sekarang sedangkan perbicaraan terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bermula.

Tanpa bukti utama itu, Karpal menyifatkan perbicaraan kes itu tidak wajar dan tentunya tidak mungkin dapat menjamin keadilan kepada Anwar.

Malah, beliau menganggap kehadiran tiga pakar forensik dan DNA dari luar negara terjejas berikutan mereka dapat meneliti bukti tersebut.

Pada perbicaraan semakan itu, Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menyatakan mahkamah tiada kuasa menyemak keputusan kerana penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

Sedangkan, Karpal menegaskan mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri kerana dengan jelas telah berlaku ketidakadilan.

No comments:

Posting Terkini