Pages

Saturday, January 16, 2010

Kerajaan Selangor beku bantuan kepada YBK selagi ia tidak telus

Kerajaan Negeri Selangor akan terus membeku pemberian bantuan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan selagi badan itu enggan bertindak telus mengenai urusan kewangannya.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata antara lain YBK gagal memanfaatkan 1,300 ekar tanah di Serendah bernilai RM78 juta yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor bagi membela golongan miskin.

Yayasan itu juga gagal menjelaskan sebarang bayaran cukai asas ke atas tanah itu sejak tahun 2001 dan hanya meminta kerajaan negeri untuk menukar status tanah berkenaan bagi projek perumahan dan komersil.

Tan Sri Khalid mengulas keengganan pengurusan YBK untuk membolehkan kerajaan negeri mengambil peranan dalam memastikan badan itu diurus secara amanah dan telus.

"Pemegang amanah YBK harus lebih telus. Mereka tidak memberikan gambaran sebenar bahawa Kerajaan Selangorlah sekian lama yang menjadi sumber terbesar YBK untuk bantuan kewangan dan sumber," kata Tan Sri Khalid.

Selain memberikan beberapa fakta asas di laman webnya yang jelas tidak menepati piawaian ketelusan, YBK tidak memberi laporan penuh mengenai status pemberian tanah dan bantuan lain yang disalurkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Justeru kerajaan negeri terpaksa bertindak apabila YBK terus mengambil sikap negatif terhadap usaha kerajaan negeri untuk memastikan badan itu bertanggungjawab atas bantuan yang diberi oleh kerajaan negeri bagi membela golongan miskin.

"Kenapa kita harus memberi lagi peruntukan apabila kita tidak tahu apa yang mereka (YBK) buat dengannya,” tegas Tan Sri Khalid.

Tan Sri Khalid berkata bidang tanah di Serendah yang diberikan kepada YBK akan bernilai 540 juta ringgit setelah ditukar statusnya.

Justeru kerajaan negeri mempunyai kepentingan untuk memastikan pemberian tanah seperti itu dimanfaatkan untuk kumpulan sasaran.

Tan Sri Khalid berkata kerajaan negeri akan menerbitkan sebuah kertas putih mengenai YBK sebelum akhir bulan ini yang akan memerinchi segala urusan badan itu dan hubung kaitnya dengan kepentingan kerajaan negeri.

Tan Sri Khalid menjelaskan konsep Merakyatkan Ekonomi mewajibkan kerajaan negeri untuk memastikan YBK telus dalam mengurukan dana rakyat.

“Jika kerajaan negeri memberi RM100juta kepada Yayasan untuk mmbantuk rakyat Selangor, itu adalah duit rakyat. Justeru kerajaan Selangor seharusnya mempunyai hak menentukan bagaimana bantuan itu diagihkan. Mungkin kerajaan negeri yang lalu tidak berbuat demikian, tetapi kerajaan negeri yang ada sekarang akan berbuat demikian kerana ini tanggungjawab kita,” tegas Tan Sri Khalid.

“Setiap ringgit adalah duit rakyat. Jadi penting untuk kerajaan negeri memastikan duit rakyat itu sampai kepada kumpulan yang disasarkan," tambah beliau.

No comments:

Posting Terkini