KLANG, Dis 20 — Parti terbaru masyarakat India, IJP atau “Indian Justice Party” yang diketuai oleh seorang ahli perniagaan dari Klang sebagai presidennya akan dilancarkan Mac depan.
Presiden penajanya Aris Krishnan berkata pihaknya mahu menyediakan platform baru kepada masyarakat India agar mendapat pembelaan sewajarnya dalam bidang politik.
“Dulu kami mengharapkan pembelaan yang baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan selepas itu kami meletakkan harapan pada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat... tetapi kami telah kecewa,” kata beliau selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa penubuhan IJP di sini, petang ini.
Pertemuan hari ini dihadiri kira-kira 30 orang.
Setiausaha Agung penajanya ialah P. Aran, seorang bekas guru manakala penasihtnya pula P. Jenapal iaitu bekas timbalan setiausaha agung PKR.
Kata beliau pihaknya berpendapat masyarakat India tidak boleh meletakkan harapan pada kerajaan semata-mata untuk menaikkan taraf hidup mereka.
Katanya keputusan untuk menubuhkan parti itu diambil kira-kira tiga bulan lalu selepas meneliti perkembangan politik semasa khususnya di Selangor yang masih belum mendapat layanan sewajarnya daripada kerajaan negeri.
“Kami tidak mahu mengambil pendirian mengkritik mana-mana parti politik masyarakat India yang terdapat di negara ini sekarang, tetapi IJP akan melahirkan masyarakat India yang boleh maju dengan berdikari,” kata beliau.
Aris berkata IJP akan dilancarkan di Perak dengan mengambil kira latar belakang penubuhan MIC dan PPP, dua komponen dalam BN lebih enam dekad lalu.
Oleh itu katanya masyarakat India sememangnya memerlukan sebuah parti yang benar-benar dapat memperlihatkan pendirian membangkang dasar kerajaan yang tidak adil.
Kini antara parti politik yang secara langsung ada untuk mewakili masyarakat India ialah MIC, PPP, IPF, Kimma, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Demokratik India Malaysia.
Baru-baru ini pemimpin bekas Hindraf menubuhkan Parti Makkal Sakti manakala Parti Hak Asasi Manusia pula sudah dikemukakan pendaftaran kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Makkal Sakti yang dilancarkan dua bulan lalu kini berada di ambang perpecahan.
Ditanya sama ada yakin akan memperoleh sokongan dan kelulusan pendaftaran, Aris menjelaskan pihaknya akan meneruskan usaha sehingga penubuhannya mendapat kelulusan.
“Sama ada mendapat kelulusan RoS atau tidak, dasar IJP akan diteruskan untuk membela masyarakat India,” katanya.
Aris mendakwa mempunyai kira-kira 5,000 ahli sekarang.
Sunday, December 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment