Pages

Friday, November 20, 2009

Runding lucut nuklear Korea U

Obama akan hantar duta khas bagi bawa Pyongyang ke pertemuan enam pihak

SEOUL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, berkata seorang utusan khas negaranya akan berkunjung ke Korea Utara pada 8 Disember untuk menghidupkan semula rundingan pelucutan senjata nuklear negara komunis itu.

Beliau turut menggesa Pyongyang supaya menghentikan provokasinya dan berunding dengan serius.

'Kami akan menghantar Duta (Stephen) Bosworth ke Korea Utara pada 8 Disember untuk menghubungi secara langsung pihak Korea Utara,' kata Encik Obama dalam satu sidang akhbar bersama Presiden Korea Selatan, Encik Lee Myung-bak, di sini, semalam.

Seoul tempat terakhir dalam siri lawatan pertama beliau ke Asia. Encik Obama berangkat pulang semalam bagi mengakhiri lawatan ke empat negara sejak minggu lalu.

Encik Bosworth mempunyai misi membawa semula Korea Utara ke meja rundingan enam pihak, yang dimulakan lebih enam tahun lalu dan melibatkan kedua-dua negara Korea, Amerika, China, Russia dan Jepun.

Korea Utara enggan meneruskan rundingan itu sejak April lalu, sebulan sebelum ia melancarkan ujian senjata nuklear kedua.

Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong-Il, berkata bulan lalu negaranya bersedia kembali ke meja rundingan jika perbincangan dua halanya dengan Amerika memuaskan hati.

Semalam Encik Obama berkata: 'Pintu masih terbuka untuk menyelesaikan isuisu ini secara aman, bagi Korea Utara melihat lambat laun pengurangan sekatan dan ia bertambah bersepadu dengan masyarakat antarabangsa.'

Tetapi beliau menambah ini 'akan hanya berlaku jika Korea Utara mengambil serius langkah-langkah sekitar isu nuklear itu'.

Encik Obama dan Encik Lee menyuarakan persetujuan masing-masing mengenai pendekatan satu sama lain terhadap negara komunis itu.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat masih ada berhubung perjanjian dagangan bebas (FTA) antara dua negara itu, yang ditandatangani pada Jun 2007 tetapi masih menunggu persetujuan kongres.

Encik Lee buat kali pertama berkata beliau terbuka kepada sebarang perbincangan lanjut bagi meredakan kebimbangan di kalangan syarikat pembuat kereta Amerika bahawa perjanjian itu tidak seimbang.

Penundaan dalam menyelesaikan isu tersebut melemahkan hubungan baik antara Amerika dan Korea Selatan.

Sambil tersenyum lebar, Encik Obama turut berjabat tangan dengan puluhan kanak-kanak yang melambai-lambai bendera ke arahnya. -- AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini