JAKARTA: Seorang pembantu rapat ketua pengganas warga Malaysia, Noordin Mohammed Top, telah menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataannya, jurucakap polis Indonesia, Encik Nanan Soekarna, berkata Aris Ma'ruf, 23 tahun, menyerah diri kepada pihak polis di Temanggung di daerah Jawa Tengah pada Jumaat lalu selepas beberapa bulan melarikan diri.
'Selepas disoal siasat, dia dibawa ke ibu pejabat polis di ibu negara untuk diserahkan kepada ketua Detasmen Khusus 88 di Jawa Tengah,' katanya sambil merujuk kepada pasukan antipengganas Indonesia.
Encik Soekarna tidak pula memberitahu sama ada Ma'ruf akan didakwa atau tidak atas sebarang kegiatan jenayah.
Di bawah undang-undang Indonesia, seseorang yang ditahan berkaitan keganasan perlu disiasat selama seminggu sebelum diisytiharkan sebagai suspek.
Menurut pengamat pengganasan daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Cik Sidney Jones, Ma'ruf telah membantu menyembunyikan Noordin, 41 tahun, daripada pihak polis sepanjang pemburuan pihak berkuasa selama enam tahun.
Noordin terbunuh dalam serbuan polis di Jawa Tengah bulan lalu.
Dia dipercayai mendalangi serangan nekad ke atas Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta bulan lalu, yang mengorbankan tujuh orang.
Noordin, yang mengetuai kumpulan serpihan Jemaah Islamiyah (JI), turut dilaporkan bertanggungjawab terhadap serangan Hotel JW Marriott pada 2003, pengeboman kedutaan Australia di Jakarta pada 2004 serta pengeboman Bali pada 2005.
Jenazah Noordin telah dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kayu Ara Pasong di Pontian Jumaat lalu. -- AFP, Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment