Pages

Wednesday, October 14, 2009

Pelajar disoal berkaitan pengeboman nekad

IDENTITI DISAHKAH: Jurucakap polis nasional, Mejar Jeneral Nanan Sukarna, menunjukkan gambar pengganas Syaifudin, yang disahkan terkorban dalam serbuan polis minggu lalu. -- Foto AP

JAKARTA: Polis Indonesia semalam menyoal siasat seorang pelajar maktab yang juga seorang sukarelawan agensi bantuan kemanusiaan yang didakwa mengaturkan perlindungan bagi para pengganas yang terlibat dalam pengeboman hotel mewah di Jakarta.

Jurucakap polis, Encik Nanan Sukarna, berkata pelajar jurusan Matematik dan Sains, Sonny Jayadi, 24 tahun, dipercayai menyewa beberapa bilik di sebuah asrama di Jakarta untuk dua adik beradik yang terbunuh dalam serbuan polis minggu lalu.

Sonny ditahan Sabtu lalu di Padang sedang dia membantu mangsa gempa yang melanda kawasan itu pada 30 September lalu.

Dia didakwa membayarkan sewa rumah bagi Syaifudin Zuhri dan Mohamad Syahrir, yang dikatakan perancang serangan nekad di dua buah hotel di Jakarta pada 17 Julai lalu.

Kedua-dua beradik itu ditembak mati dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah yang disyaki tempat persembunyian mereka di daerah Tangerang, dekat Jakarta, pada Jumaat lalu.

Polis mengesahkan kematian kedua-dua beradik tersebut dalam serbuan terbabit dan mengenal pasti mayat mereka secara rasmi kelmarin.

Kelmarin, media setempat melaporkan bahawa penduduk sebuah kampung menolak permintaan keluarga yang ingin mengebumikan mayat kedua-dua pengganas itu di kampung mereka dengan menyatakan mereka tidak dialu-alukan, sama ada hidup atau mati.

Keluarga pengganas itu mahu mengebumikan mereka di kampung tempat asal bapa mereka iaitu kampung Sampiran, di Jawa Barat.

Namun, ketua kampung, Encik Maman Suparman, berkata permintaan itu ditolak selepas satu pertemuan dengan golongan tua kampung minggu lalu.

'Kami tidak mahu pengganas ada di kampung kami, sama ada hidup atau mati. Kami mengutuk apa yang mereka lakukan... membunuh orang yang tidak bersalah adalah sikap yang tidak berperikemanusiaan. Ia menyalahi ajaran Islam.

'Kami semua membantah. Nama kampung kami akan tercemar. Jika mayat itu dibawa ke sini, kami akan menghalaunya,' katanya.

Menurut laporan akhbar Tempo, yang memetik kakak suspek, Cik Sucihani, pasangan beradik itu mungkin dikebumikan di sebuah kawasan perkuburan awam di timur Jakarta, bersebelahan seorang lagi perancang serangan hotel yang mati ditembak dalam satu operasi polis lebih awal.

Serangan terhadap Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton mengorbankan tujuh nyawa, termasuk dua pengebom itu.

Polis berkata secara keseluruhan terdapat 22 suspek yang terlibat dalam pengeboman kedua-dua hotel itu.

Ini termasuk dua pengebom nekad yang terkorban, sembilan suspek yang terbunuh dalam serbuan polis, 10 ditangkap hidup-hidup dan seorang lagi suspek sedang diburu. -- AFP, AP.

No comments:

Posting Terkini