Pages

Monday, October 12, 2009

Masyarakat global hadapi ancaman daripada militan Pakistan

MUMBAI: Diplomat utama India semalam memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa tentang ancaman bahaya daripada para militan Pakistan selepas satu serangan bom ke atas kedutaan India di Kabul, Afghanistan.

Serangan bom pada Khamis lalu itu - kumpulan Taleban mendakwa bertanggungjawab terhadapnya - membunuh 17 orang tetapi tidak mencederakan seorang pun kakitangan kedutaan tersebut.

Masyarakat antarabangsa dan rakyat Afghanistan khususnya menghadapi bahaya yang jelas dan dalam masa terdekat daripada para pelaku tindakan kejam pengganasan itu dan para penaung mereka yang tinggal di seberang sempadan,' kata Setiausaha Luar India, Encik Nirupama Rao.

'Serangan itu jelas adalah kerja-kerja mereka yang terdesak untuk melemahkan jalinan persahabatan India-Afghanistan,' kata Encik Rao dalam satu kenyataannya lewat malam kelmarin.

Beliau berkunjung ke Kabul pada Jumaat lalu untuk memeriksa tempat kejadian serangan bom itu tetapi enggan menuduh sesiapa ketika itu apabila ditanya jika India mengesyaki Pakistan bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

India pernah, pada masa lalu, menuduh agensi risikan Pakistan, ISI, sebagai bertanggungjawab ke atas kepentingan India di Afghanistan.

Satu serangan ke atas kedutaan yang sama di Kabul pada tahun lalu membunuh 58 orang.

Selepas satu lawatan ke tempat kejadian serangan itu, Encik Rao bertemu dengan Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai; Menteri Luarnya, Encik Rangeen Dafdar Spanta; dan Penasihat Keselamatan Negaranya, Encik Zalmai Rassoul.

'Mereka sebulat suara menyatakan bahawa serangan itu dilakukan oleh unsur-unsur dari luar Afghanistan yang sedang cuba merosakkan hubungan cemerlang yang wujud antara India dengan Afghanistan,' kata kenyataan itu.

Para pengamat berkata pihak militan itu mungkin cuba memaksa India supaya mengurangkan kehadirannya di Afghanistan, yang membelanjakan AS$1.2 bilion ($1.7 bilion) untuk projek-projek pembangunan, dan menggagalkan sebarang rancangan pihak Barat untuk melibatkan India dalam usaha menstabilkan rantau itu.

Pakistan bersaing dengan India bagi mendapatkan ruang strategik di Afghanistan dan melihatnya sebagai satu kawasan perlindungan sekiranya ia berperang dengan India.

Pakistan mengutuk serangan bom di Kabul itu dan menolak sindiran India bahawa ia terbabit.

'Amat dikesalkan bahawa para pegawai dan media India terus membuat sindiran tidak berasas,' kata kementerian luar Pakistan dalam satu kenyataannya kelmarin. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini