PUTRAJAYA: Umno akan melakukan pembersihan terhadap senarai nama ahlinya.
Ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berkualiti dan setia dilantik sebagai pemimpin parti itu pada masa depan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kaedah yang sesuai digunakan bagi membersihkan senarai keahlian itu.
Ini termasuk memadam nama mereka yang meninggal dunia dan keluar daripada parti.
'Apabila kita siasat rupa-rupanya terdapat ahli yang sudah meninggal, tidak cergas dan berhijrah, jadi kita perlu lakukan pemutihan bagi meletakkan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan sepatutnya,' katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini kelmarin.
Menurutnya, langkah membersihkan dan mengemaskini itu bagi memastikan senarai tersebut mengandungi anggota parti yang cergas kerana mungkin terdapat nama yang masih berada dalam senarai telah meninggal dunia, berhijrah ke negara lain atau menyertai parti politik lain, sambil menegaskan jumlah mereka yang 'keluar parti' masih kecil.
Keadaan itu, katanya, telah menyebabkan salah pengiraan semasa proses pilihan raya kerana di atas kertas, parti dilihat seolah-olah boleh menang, namun hakikat itu tidak diterjemahkan melalui undi.
'Kita juga bercadang akan mewujudkan pelbagai insentif baru yang bakal diumumkan kelak bagi menarik lebih ramai generasi muda serta golongan profesional menyertai Umno.
'Kita berharap langkah ini bukan saja dapat memperkukuh parti bahkan mampu menarik lebih golongan itu menyertai Umno.
'Paling penting, untuk menarik ahli berkualiti masuk ke dalam Umno berbanding kuantiti,' katanya.
Beliau menambah, Umno juga akan mencari kaedah lain bagi menarik ahli baru dan memastikan ahli-ahli terus menyokong parti itu.
Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Lembaga Pengarah UniKL, Datuk Rais Zainuddin; serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Abdul Hakim Juri.
Mengulas tentang pilihan raya kecil di Bagan Pinang, Datuk Seri Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, turut meminta pengundi supaya tidak bimbang untuk keluar mengundi semalam pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, walaupun ada cubaan pihak tertentu untuk mencetuskan suasana kurang selesa.
'Pengundi perlu menunaikan tanggungjawab dan jangan terpedaya dengan permainan pihak tertentu yang sengaja cuba mewujudkan suasana tidak selesa,' katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Mohd Shafie, yang juga Pro-Canselor UniKL, mengingatkan lepasan universiti itu supaya sentiasa peka, berdaya kreatif, berkemahiran serta bijaksana dalam menempuh cabaran selepas bergelar graduan.
Katanya, lepasan UniKL perlu menjadi graduan yang mampu menguasai pelbagai bahasa, kemahiran dan memiliki kekuatan dari segi mental dan fizikal bagi memasuki pasaran pekerjaan. -- BMM, Utusan Malaysia, Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment