Pages

Tuesday, September 8, 2009

Gempa Jawa: Angka kematian capai 100

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam kejadian gempa sekuat 7 pada skala Richter yang menggegarkan barat pulau Jawa minggu lalu, kata seorang pegawai semalam.

Pihak berkuasa telah mengesahkan 74 orang terbunuh dalam kejadian gempa itu yang berlaku di luar pantai selatan Jawa Rabu lalu, kata jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Encik Priyadi Kardono, kepada agensi berita AFP.

Lagi 34 orang juga dipercayai tertimbus dan dijangka mati di bawah batu-batuan dan tanah runtuh akibat gempa di daerah perkampungan Cikangkareng di Jawa Barat, kira-kira 130 kilometer ke selatan Jakarta, kata Encik Kardono.

'Mayat-mayat akan hancur jika kami menggunakan mesin-mesin berat seperti jengkaut,' kata beliau, sambil menambah bahawa beberapa buah jentolak telah digunakan untuk membantu membersihkan serpihan runtuhan.

'Kami tiada jalan lain kecuali mencari mayat-mayat itu secara manual, mengetepikan batu-batuan dengan menggunakan tangan dan menggunakan anjing untuk menghidunya (mayat).

'Bagaimanapun, kerja-kerja itu mengambil masa yang panjang,' katanya lagi.

Lebih 88,000 orang kehilangan kediaman mereka akibat gempa bumi itu, yang menghancurkan dengan teruknya lebih 54,000 rumah dan bangunan.

Gegaran gempa itu turut dirasakan sejauh Bali dan kepulauan Sumatera, kata Encik Kardono.

Satu gempa sekuat 7.7 pada skala Richter di selatan Jawa mencetuskan tsunami pada 2006, mengakibatkan 596 orang mati dan 74,000 orang kehilangan rumah.

Satu lagi gempa besar di luar pantai Sumatera juga mencetuskan tsunami besar pada 2004, hingga menyebabkan lebih 200,000 orang terbunuh di beberapa daerah Asia, termasuk 168,000 di Indonesia.

Sementara itu, para pegawai kesihatan mulai bergelut dengan kemungkinan merebaknya penyakit di kalangan mangsa gempa itu dengan ramai antara mereka yang mengadu menghidap cirit-birit dan gatal-gatal. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini