Pages

Tuesday, September 8, 2009

Usah bawa keluar barang terkawal dari Malaysia

KASTAM Malaysia kini lebih kerap menjalankan pemeriksaan di Laluan Kedua dan Tambak Johor bagi membendung kegiatan membawa keluar barangan terkawal seperti minyak, tepung, gula dan beras daripada negara jiran itu.

Operasi yang dijalankan sejak sebelum Ramadan itu juga bertujuan memastikan bekalan barang-barang keperluan Hari Raya mencukupi bagi rakyat mereka sendiri dan sekali gus mengekang harga daripada melonjak menjelang musim perayaan.

Dalam salah satu operasi di Laluan Kedua dari petang hingga malam Sabtu lalu, enam petugas yang berbekalkan lampu picit memeriksa kesemua kereta Singapura yang keluar daripada pemeriksaan imigresen Malaysia.

Kebanyakan pemandu dilihat terkejut apabila para petugas itu mengambil barangbarang terkawal tersebut daripada but kereta mereka.

Wartawan yang kebetulan berada di tempat pemeriksaan sekitar 8.50 malam mendapati operasi itu telah menghasilkan rampasan lebih 50 botol minyak masak dengan setiap satu seberat lima kilogram, beberapa kotak tepung, puluhan peket gula dan beras.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Datuk Mohd Shafie Apdal, pernah mengumumkan bahawa penguatkuasaan penuh larangan membawa keluar 10 daripada 20 barangan terkawal dimulakan 1 Mac tahun lalu.

Menurut beliau, 10 barang kawalan yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 itu ialah gula, tepung gandum, minyak masak, simen, petrol, spirit motor, gasolin motor, minyak diesel, gas petroleum cecair, bar bulat, keluli lembut, ayam dan baja.

Diminta mengulas mengenai pemeriksaan di Laluan Kedua itu, ketua operasinya yang juga pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia, yang mengenalkan dirinya sebagai Cik Ainilifah, berkata:

'Kami hanya melaksanakan peraturan sedia ada. Tetapi kami hairan kebanyakan rakyat Singapura yang cuba membawa keluar barang-barang terkawal itu mendakwa mereka tidak tahu-menahu mengenai peraturan tersebut.

'Kami sedar mereka beli barang-barang ini untuk kegunaan sendiri dan untuk menjimatkan belanja, tetapi perbuatan mereka salah di sisi undang-undang kami.'

Harga sebotol minyak masak seberat lima kilogram di seberang Tambak adalah antara RM13.50 ($5.50) dengan RM15 berbanding $10 dengan $18 di Singapura.

Menurut Cik Ainilifah, peraturan itu pernah disiarkan media elektronik dan cetak Singapura dan oleh itu 'mereka tak boleh kata tak tahu dan bagi kami mereka sebenarnya eksyen tak tahu'.

Beliau mengingatkan bahawa jabatannya akan terus menjalankan operasi, terutama sehingga akhir Ramadan ini.

Dalam ruangan Forum BH Sabtu lalu, seorang pembaca, Cik Sofia Akram, mendakwa beliau terkejut apabila pegawai kastam Malaysia mengambil barangannya seperti sepeket beras, dua peket gula dan sebotol minyak masak dalam pemeriksaan di Laluan Kedua pada 30 Ogos lalu.

'Saya bertanya kenapa kami tidak dimaklumkan perkara itu atau diberi risalah bahawa rakyat Singapura tidak dibenarkan membawa barangan itu balik ke Singapura?

'Pegawai itu menjawab laporan peraturan itu telah disiarkan melalui radio Malaysia dan terdapat juga nota pemberitahuan di pasar-pasar raya di Malaysia,' kata Cik Sofia.

Beliau berkongsi pengalaman tersebut agar rakyat Singapura tidak membeli barangan itu dan akhirnya terbazir kerana dirampas pihak Kastam Malaysia.

No comments:

Posting Terkini