Pages

Monday, September 7, 2009

Feri karam di Mindanao, lima maut

MANILA: Lima orang terkorban manakala 63 lagi hilang selepas feri SuperFerry 9 yang membawa hampir 1,000 penumpang tenggelam di perairan pulau Mindanao, selatan Filipina semalam, kata para pegawai.

Bagaimanapun 900 penumpang dapat diselamatkan, kata mereka.

Feri tersebut sedang dalam perjalanan dari bandar General Santos di Mindanao menuju ke bandar Iloilo, apabila ia mulai senget pagi semalam.

SuperFerry 9 menghantar isyarat meminta bantuan pada 3.30 pagi ketika berada 11 kilometer dari semenanjung Zamboanga.

'Mereka suruh kami bertenang, tetapi tidak ada pasukan yang datang menyelamat sehingga dua jam,' kata Encik Manuel Malicsi, seorang mangsa yang terselamat, kepada Radio RMN.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan pengumuman meminta bantuan dan mengejarkan kapal penyelamat ke kawasan berkenaan, kata panglima Pasukan Pengawal Pantai, Laksamana Wilfredo Tamayo, kepada pemberita.

Menurut beliau, 900 daripada 968 penumpang dan kru SuperFerry 9 dipindahkan ke dua kapal dagang, sebuah kapal tentera laut dan sebuah kapal nelayan beberapa jam selepas ia mula senget.

Operasi kini dilancarkan bagi mencari 63 penumpang yang masih hilang, kata Laksamana Tamayo.

'Kami mencari di semua kawasan. Kapal tentera laut dan udara masih berada di kawasan itu,' jelas beliau.

Sebahagian besar penumpang dibawa ke pantai oleh kapal lain dan pihak berkuasa Filipina berharap mereka yang masih hilang telah diselamatkan oleh kapal nelayan yang datang untuk memberi pertolongan.

Tentera Amerika mengerah sebuah helikopter dan lima kapal untuk membantu operasi, kata pegawai tentera Amerika, Kolonel William Coultrup.

'Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Kapal Pengawal Pantai masih menjalankan operasi di kawasan itu,' kata jurucakap Pengawal Pantai, Komander Armand Balilo.

Cuaca baik sewaktu nahas berlaku. Tetapi kru feri melaporkan bahawa ada masalah janakuasa, kata Laksamana Tamayo.

Para pegawai berkata mereka akan menyiasat punca nahas. Namun laporan oleh Majlis Penyelaran Bencana berkata insiden mungkin berpunca daripada satu lubang pada badan kapal. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini