Pages

Monday, September 7, 2009

Perancis gesa siasatan penuh

PARIS: Menteri Luar Perancis, Encik Bernard Kouchner, semalam menggesa diadakan siasat menyeluruh terhadap serangan udara oleh pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) ke atas trak yang dicuri Taleban, hingga menyebabkan kematian ramai orang awam di Afghanistan.

Keutamaan kita ialah menjalankan siasatan menyeluruh mengenai serangan tersebut dan angka korban sebenar operasi berkenaan,' kata Encik Kouchner dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, Encik Kouchner menyifatkan serangan udara itu, yang dilancarkan oleh pesawat Amerika atas permintaan askar Jerman di Kunduz, sebagai 'satu kesilapan besar'.

Menurut beliau, strategi negara Barat ialah '(Kita) mesti bekerjasama dengan rakyat Afghanistan, bukan mengebom mereka.'

'Kita mesti elakkan perkara ini. Kita mesti siasat dan mengutuk mereka yang bertanggungjawab,' tegas beliau dalam satu mesyuarat di Stockholm.

Panglima tentera Nato di Afghanistan, Jeneral Stanley McChrystal, Sabtu lalu berikrar akan melancarkan siasatan penuh berhubung serangan tersebut.

Namun beliau enggan mengakui ada orang awam yang terbunuh dan mereka hanya cedera, meskipun laporan awal berkata sehingga 100 orang terkorban dalam serangan ke atas dua trak minyak Nato yang dicuri oleh gerila Taleban.

Jeneral McChrystal kelmarin melawat Hospital Kunduz dan bercakap dengan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang cedera dalam serangan itu.

'Sebagai panglima Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), tidak ada yang lebih penting bagi saya daripada keselamatan dan perlindungan rakyat Afghanistan,' kata Jeneral McChrystal menerusi televisyen.

Gabenor Kunduz, Encik Mohammad Omar, semalam berkata enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, merupakan antara 54 orang yang terkorban dalam serangan pesawat Nato yang mengebom dua trak minyak yang dicuri Taleban.

Pemandu salah sebuah trak dan anak lelakinya dibunuh dalam serangan berasingan oleh Taleban, kata beliau.

'Menurut siasatan kami, 56 orang terkorban. Seramai 48 lelaki dikenal pasti sebagai bersenjata, yang lain orang awam. Seramai 15 cedera, termasuk dua gerila Taleban,' kata Encik Mohammad Omar.

Bagaimanapun, menurut laporan Washington Post, satu pasukan penyiasat Nato menganggarkan 125 orang terkorban dalam serangan udara itu, dan seramai 24 daripada mereka orang bukan pengganas.

Meskipun para pegawai menegaskan ramai yang terkorban itu militan, Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, berkata serangan ke atas orang awam tidak dapat diterima. Beliau telah menghantar satu pasukan untuk menyiasat. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini