Pages

Monday, September 7, 2009

Pengayaan uranium Korea U masalah berlarutan

SEOUL: Langkah kedua Korea Utara hendak menghasilkan senjata nuklear melalui pengayaan uranium merupakan masalah yang dijangka berlarutan, kata Encik Stephen Bosworth, duta khas Amerika Syarikat ke negara itu, semalam.

Pyongyang, yang sudah menghasilkan plutonium yang cukup untuk membuat enam hingga lapan bom nuklear, berkata Jumaat lalu bahawa ia telah mencapai kemajuan dalam pengayaan uranium.

Korea Utara juga berkata pemprosesan semula bahan bakar nuklear yang terpakai kini telah mencapai tahap terakhir dan plutonium yang diperolehi akan digunakan untuk membuat senjata nuklear.

Para penganalisis menyifatkan perkara itu sebagai satu taktik untuk mengenakan tekanan ke atas kuasa serantau selepas sebulan ia menunjukkan sikap berlembut.

'Ini bukan kali pertama kami mendengar tentang uranium yang terlalu diperkaya (HEU) dan mungkin bukan kali terakhir,' kata Encik Bosworth kepada pemberita di Seoul, sehari selepas berunding dengan para pegawai Korea Selatan.

'Jika kita hendak menangani pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea, ini merupakan satu isu yang perlu diminta penjelasan,' kata Encik Bosworth, yang baru melawat Beijing dan dijangka melawat Tokyo bagi membincangkan rundingan enam hala yang terbantut bagi melupuskan program senjata nuklear Korea Utara.

Washington sejak itu mengesyaki Korea Utara cuba memperkaya uranium untuk membuat senjata nuklear tetapi pakar-pakar berkata Pyongyang memerlukan masa beberapa tahun sebelum mencapai tahap sedemikian.

'Kita perlu menimbang apa yang hendak kita lakukan sebagai tindak balas,' kata Encik Bosworth, seperti ditukil agensi berita Yonhap News semalam.

Menurut beliau, langkah melucutkan senjata nuklear Korea Utara memerlukan huraian pelbagai hala, sekali gus menolak gesaan Pyongyang agar Amerika menggugurkan rundingan enam hala dan menggantikannya dengan dialog dua hala dengan Pyongyang.

'Sebagaimana yang kami tegaskan pada masa yang lalu bahawa kami bersedia mengadakan rundingan dua hala dengan Korea Utara tetapi dalam konteks proses enam pihak,' tegas beliau. -- AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini