Pages

Saturday, August 29, 2009

Peguam pertikai saksi polis enggan rakam kenyataan

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili lima peguam yang ditangkap dan ditahan dalam lokap polis memberitahu siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di sini, hari ini bahawa mereka ditipu dan dikelirukan oleh saksi polis berhubung rakaman kenyataan.

M Puravalen berkata, mereka terkejut selepas dimaklumkan hari ini bahawa saksi polis enggan kenyataan mereka dirakamkan sebelum mereka memberikan keterangan pada prosiding siasatan dan menurutnya perkara itu tidak adil kepada anak guam beliau.

Beliau berkata, jika saksi enggan merakamkan kenyataan masing-masing, mereka perlu memaklumkan kepada siasatan itu lebih awal.

"Dalam kes ini, saksi polis sudah diarahkan oleh panel pesuruhjaya pada 14 Ogos untuk merakamkan kenyataan mereka sebelum mereka memberikan keterangan dalam prosiding dan hari ini mereka menyatakan tidak mahu merakamkan kenyataan mereka.

“Dengan berbuat demikian, ini akan membolehkan mereka mereka-reka keterangan dan ceritanya akan diubah apabila mereka memberikan keterangan," katanya.

Puravalen berkata, ini tidak adil kepada saksinya yang sudah merakamkan kenyataan mereka dan memberikan keterangan dalam prosiding kerana para saksi polis boleh ubah kenyataan mereka.

Beliau berkata, rakaman kenyataan itu adalah penting kepada siasatan itu bagi melihat sama ada keterangan yang diberikan pada prosiding adalah sepadan dengan kenyataan yang dirakamkan.

Puravalen berhujah demikian pada siasatan itu yang bermula 14 Ogos dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu dua pesuruhjaya, Datuk Dr Micheal Yeoh Onn Kheng dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Mereka yang ditahan ialah Puspawati Rosman, Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan.

Penahanan dibuat pada 9.30 malam, 7 Mei, dan dibebaskan keesokan harinya.

Muhammad Shafee kemudian menangguhkan prosiding ke 2 September bagi pihak mengemukakan hujah mengenai sama ada Suhakam mempunyai kuasa untuk mengarahkan saksi-saksi merakamkan kenyataan dan beliau juga memberitahu siasatan itu bahawa berdasarkan pengalamannya mengendalikan beberapa siasatan membabitkan saksi polis, gagal untuk merakamkan kenyataan mereka.

"Ketika saya mengendalikan siasatan terhadap kes kematian tahanan dalam lokap, polis enggan untuk merakamkan kenyataan, tetapi kami berjaya merakamkan kenyataan pegawai penjara," katanya.

Katanya, mengikut Seksyen 14(1)(a) Akta Suhakam 1999, panel siasatan sepatutnya mempunyai kuasa untuk memperoleh dan menerima semua keterangan sama ada secara bertulis atau lisan dan untuk memeriksa semua mereka sebagai saksi tetapi bukan mengarahkan saksi merakamkan kenyataan.

Beliau juga membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh Puravalen bagi memberikannya masa bagi mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guamnya berikutan keengganan saksi polis merakamkan kenyataan.

Hari ini, siasatan itu dijadual mendengar keterangan daripada beberapa saksi termasuk tiga lagi peguam.

Puspawati dan Fadiah Najwa sudah memberikan keterangan pada 15 Ogos.

Muhammad Shafee juga memaklumkan siasatan itu bahawa saksi polis seperti Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan Deputi Superintendan Judy Blacious Pereira dalam kenyataan mereka pada 14 Ogos yang tidak ditandatangani, berkata mereka akan menjawab soalan ketika prosiding tetapi enggan kenyataan mereka dirakamkan.

Superintendan R Munusamy yang bertindak sebagai pemerhati bagi pihak polis, memberitahu siasatan itu bahawa panel tidak harus menganggap keengganan saksi polis untuk merakamkan kenyataan sebagai bermaksud yang mereka akan mereka-reka keterangan mereka. - Bernama

No comments:

Posting Terkini