Pages

Monday, August 10, 2009

Najib mahu Selangor kembali kepada BN

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam berkata beliau mahu Selangor dikembalikan semula kepada tangan Barisan Nasional (BN) kerana negeri itu adalah penting sebagai nadi negara.

Peluang Barisan Nasional (BN) berkuasa di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat parti-parti komponen yang diterajui Umno sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah, kata beliau, yang juga Presiden Umno, semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor, di sini semalam.

Selain daripada itu, beliau berkata Umno tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersama-sama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.

'Ini harapan saya... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan,' kata Datuk Seri Najib, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Beliau berkata perancangan itu, yang digelar 'Formula Pekan' telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi dalam politik negara sehingga menjadi perdana menteri dan presiden parti.

Datuk Seri Najib berkata perubahan-perubahan telah dilakukannya selepas pilihan raya umum 1999 apabila beliau hanya menang dengan majoriti 241 undi tetapi pada 2008 undi majoriti beliau telah meningkat kepada 22,922 undi dan pada pilihan raya umum lalu undi majoritinya naik lagi kepada 26,464 undi.

Menurutnya, beliau tidak dapat melupakan peristiwa pada 1999 itu apabila beliau merasakan masa depan politik beliau gelap dan ada pihak yang meramalkan kerjaya politik beliau bakal berakhir.

Namun, Datuk Seri Najib berkata beliau tidak berundur daripada bertanding di Pekan pada pilihan raya selepas itu walaupun beliau boleh bertanding di Lipis dan Paya Besar yang dikatakan kawasan Parlimen lebih mudah untuk dimenangi.

Beliau berkata perubahan atau muhasabah yang dilakukan untuk berjaya perlu jujur seperti yang dilaksanakannya di Pekan kerana berdasarkan muhasabah yang jujur.

'Bila buat proses muhasabah saya tegur orang Pekan, maklumat yang mula-mula semua kata 'Datuk O.K.' tapi sebenarnya 'Datuk hampir K.O.',' ujarnya. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini