JAKARTA: Ujian-ujian DNA yang bakal dijalankan ke atas mayat lelaki yang ditembak mati anggota pasukan keselamatan Indonesia dalam satu serbuan memburu pemimpin kumpulan militan, Noordin Mohammad Top (gambar), kelmarin, akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, sedang para pengamat mempersoalkan sama ada polis telah berjaya membunuh orang buruannya.
Noordin, 40 tahun, yang dilahirkan di Malaysia, adalah suspek utama dalam kejadian pengeboman kembar hotel-hotel J W Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada bulan lalu, yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 lagi.
Polis kelmarin percaya Noordin telah ditembak mati, selepas satu serbuan selama hampir 18 jam oleh unit antipengganasan Indonesia yang lengkap bersenjata di sebuah rumah yang dikelilingi sawah padi dan ladang tembakau di Jawa Tengah, kata satu laporan agensi berita Reuters, semalam.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang dipercayai menjadi sasaran rancangan pengganasan konco-konco Noordin, selanjutnya telah berikrar mencari para pengebom hotel-hotel di Jakarta itu.
Jika Noordin terbunuh, ia akan menjadi satu kejayaan besar bagi pasukan keselamatan negara itu dan mungkin mengurangkan lebih banyak serangan pengganas pada masa depan, tambah laporan itu
Namun, beberapa keraguan ditimbulkan oleh beberapa pihak semalam, tentang sama ada Noordin benar-benar terbunuh dalam serbuan yang dibuat oleh pasukan antipengganasan Indonesia kelmarin.
'Kami belum dapat mengesahkan bahawa (mayat) ini adalah Noordin Top,' kata ketua polis Indonesia, Jeneral Bambang Hendarso Danuri, yang dipetik dalam laporan agensi berita The Associated Press (AP).
Penasihat antipengganasan Indonesia, Dynno Chressbon, menyuarakan keraguannya bahawa Noordin sudah terbunuh, sambil memetik ulasan-ulasan daripada bekas anggota kumpulan militan yang memberitahu media bahawa seorang ketua militan tidak akan dibiarkan bersendirian dalam persembunyian.
Hanya satu mayat yang ditemui di tempat kejadian itu.
'Saya sememangnya ragu bahawa mangsa itu adalah suspek pengganas Noordin Top,' kata beliau yang dipetik dalam laporan AP itu.
Jeneral (Bersara) Abdullah Hendropriyono, seorang bekas anggota agensi risik Indonesia, berkata beliau ragu bahawa yang mati itu adalah Noordin.
'Mustahil bagi seorang pengganas seperti Noordin berjalan atau tinggal sendirian, tanpa pengawal,' kata Encik Hendropriyono kepada stesen MetroTV.
'Jika dia sendirian amat sukar untuk percaya... Sebagai seorang pengamat saya berani bertaruh ia bukan Noordin,' tambahnya.
Sementara itu, MetroTV juga memetik Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Musa Hassan, sebagai berkata Malaysia akan turut memberi kerjasama dan membantu siasatan beberapa perkara yang masih belum disiasat oleh polis Indonesia.
Keluarga Noordin juga dikatakan sedia membantu mengesahkan identiti mayat tersebut.
Media setempat, yang melaporkan kematian Noordin kelmarin, turut menarik balik dakwaan masing-masing, dan sebaliknya mengemukakan soalan sama ada Noordin benar-benar sudah mati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment