Pages

Sunday, August 23, 2009

Kilang Perabot, Dua Rumah Musnah Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR, 22 Ogos -- Sebuah rumah yang dijadikan kilang perabot dan dua rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Ampang Campuran dekat Ampang Jaya, di sini malam Sabtu.

Kebakaran pada kira-kira pukul 7.45 malam itu dikatakan bermula dari kilang terbabit sebelum merebak ke dua buah rumah setinggan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Shari Abdullah berkata 33 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Pandan Indah, Bangi, Hang Tuah dan Taman Saga mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran.

"Kebakaran dipercaya bermula dari kilang itu. Bagaimanapun punca sebenar dan jumlah kerugian masih disiasat. Kita berjaya selamatkan 30 rumah berhampiran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang saksi, Rohainah Hassan, 61, berkata kejadian berlaku ketika beliau dan keluarga baru lepas berbuka puasa apabila mereka terdengar letupan kuat di belakang rumahnya.

"Saya dengar bunyi letupan kuat dan saya lihat api tinggi. Saya takut melarat ke rumah saya dan keluarkan barang-barang...tapi syukur semuanya selamat," katanya.

Beliau berkata sebelum ini beberapa penduduk pernah membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana tidak setuju rumah terbabit dijadikan kilang berhampiran kawan perumahan mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini