Pages

Thursday, August 27, 2009

Harapan lancar semula rundingan damai

NEW YORK: Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama; Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mungkin diadakan di New York, bulan depan.

Pertemuan itu penting dalam usaha memulakan proses damai Timur Tengah.

Cik Gabriele Shalev bagaimanapun enggan memberikan butir lanjut.

Seorang pegawai pemerintah Israel di London berkata, pertemuan itu sedang dirancang di luar Perhimpunan Agung PBB di sini pada minggu terakhir bulan depan.

'Kami berharap masanya sudah tiba bagi membolehkan pertemuan antara Abbas dengan Obama di New York dijadikan simbol pelancaran semula rundingan damai,' kata pegawai itu.

Encik Netanyahu telah bertemu dengan Perdana Menteri Britain, Encik Gordon Brown, di London kelmarin dan beliau dijadualkan mengadakan rundingan dengan Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, di Berlin hari ini.

Pemimpin Israel itu turut dijadualkan bertemu dengan duta khas Timur Tengah Amerika, Encik George Mitchell, di London semalam.

Encik Mitchell dijangka mendesak Israel agar menghentikan pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat.

Britain dan Jerman merupakan antara negara yang menyokong Amerika dalam tuntutan itu, yang dilihat sebagai kunci utama bagi memulakan semula rundingan damai.

Rundingan damai dihentikan pada Disember lalu apabila Israel melancarkan serangan ke atas Jaluran Gaza yang dikawal oleh Hamas.

Encik Netanyahu sebelum ini menolak desakan antarabangsa agar pembinaan petempatan Yahudi di timur Baitulmakdis dihentikan.

Beliau bagaimanapun telah melahirkan harapan rundingan dengan Encik Mitchell akan membolehkan rundingan damai disambung semula.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ian Kelly, telah turut melahirkan harapan rundingan itu dapat disambung 'tidak lama lagi'.

Bercakap kepada wartawan selepas pertemuannya dengan Encik Brown kelmarin, Encik Netanyahu berkata beliau ingin mencari satu pendekatan yang membolehkan semua pihak memulakan semula rundingan damai tetapi pada masa yang sama membenarkan penduduk Yahudi meneruskan kehidupan mereka seperti biasa di Tebing Barat.

Buat masa ini, terdapat 300,000 penduduk Israel yang menetap di Tebing Barat.

Beliau bagaimanapun mahu Palestin mengiktiraf kewujudan Israel sebagai negara merdeka.

'Keengganan pemimpin Palestin mengiktiraf secara jelas (kewujudan Israel) merupakan sebab mengapa proses damai mengalami kegenjotan,' kata Encik Netanyahu. -- AFP, AP.

No comments:

Posting Terkini