Pages

Saturday, July 25, 2009

Wanita berpurdah di Sydney dakwa pemandu larang naik bas

SYDNEY: Seorang wanita Islam warga Australia mendakwa seorang pemandu bas di Sydney melarangnya menaiki kenderaan itu kerana memakai purdah.

Ibu dua anak itu berkata ketika itu beliau memakai purdah berbunga berwarna merah jambu.

Wanita itu hanya dibenarkan menaiki bas itu selepas satu pertengkaran hangat berlaku.

'Sedang saya menaiki bas itu, pemandu bas berkenaan berkata: Anda tidak boleh menaiki bas ini dengan memakai topeng,' kata wanita itu kepada akhbar Daily Telegraph semalam.

Apabila wanita itu cuba menjelaskan bahawa pakaiannya itu adalah satu tuntutan agama, pemandu bas itu hanya berkata: 'Maaf, ini satu undang-undang.'

'Saya memberitahu beliau (pemandu bas itu) bahawa ia bukan satu undang-undang dan beliau memberitahu saya: Anda harus tunjukkan muka anda,' kata wanita itu.

'Saya memberitahu beliau: Tiada perbezaan di antara saya dengan wanita yang duduk di sana yang memilih untuk tidak memakai apa yang saya pakai,' tegas wanita itu.

Syarikat bas berkenaan, Hillsbus, berkata pemandu bas itu sedang disoal berkaitan dakwaan itu.

'Kami sedang menyiasat perkara ini dan akan melakukannya secepat mungkin.

'Kami perlu mengetahui apa sebenarnya berlaku dan apa yang perlu kita lakukan selanjutnya,' kata jurucakap syarikat itu.

Sejak beberapa tahun lalu, ketegangan agama pernah dilaporkan.

Pada Disember 2005, sentimen anti-Islam memuncak di pantai Cronulla di selatan Sydney apabila sekumpulan penduduk kulit putih menyerang warga Australia yang berketurunan Lebanon.

Rusuhan kaum terburuk yang pernah dilaporkan di Australia itu telah mencetuskan beberapa siri tindak balas dengan gereja, kedai dan kereta diserang. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini