Pages

Saturday, July 25, 2009

Polis sahkan satu lagi bom gagal diletup

JAKARTA: Polis semalam mengesahkan satu lagi bom sepatutnya meletup tetapi ia gagal berfungsi sebelum dua pengebom nekad meletupkan diri mereka di dua hotel mewah di Jakarta minggu lalu.

Komputer riba yang diisi bahan letupan dan dilengkapi dengan alat penentu waktu (timer) yang dijumpai di tingkat 18 di Hotel JW Marriott itu sepatutnya meletup dahulu.

Jurucakap polis nasional, Encik Ketut Untung Yoga, berkata letupan itu akan mencetuskan panik di kalangan tetamu hotel itu yang kemudian akan melarikan diri ke lobi, tempat seorang pengebom nekad bersedia untuk meletupkan dirinya.

'Memang jelas bom yang dijumpai di bilik hotel itu dilengkapi dengan alat penentu waktu yang menunjukkan jam berapa ia sepatutnya meletup. Ia sepatutnya meletup sebelum dua lagi letupan berlaku,' kata Encik Yoga.

Seorang lagi pengebom nekad meletupkan dirinya di Hotel Ritz-Carlton hampir serentak dengan letupan di Hotel JW Marriott.

Dua serangan pada Jumaat itu membunuh tujuh orang, enam daripadanya warga asing, dan telah mencederakan lebih 50 orang.

Taktik itu dikatakan menyerupai taktik yang digunakan oleh kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) semasa pengeboman Bali pada 2002 dan 2005.

Kelmarin, polis menangkap seorang pengebom nekad yang mengaku telah dilatih oleh kumpulan pengganas pimpinan Noordin Mohammad Top di daerah Cilacap, di Jawa Tengah.

Seeorang wanita yang dipercayai isteri ketiga Noordin juga ditangkap di daerah itu pada awal minggu ini.

Wanita itu, yang dikenal pasti sebagai Arina Rochmah, bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui nama sebenar suaminya.

Beliau selama ini menyangka ketua militan paling dikehendaki itu bekerja sebagai guru, kata peguamnya, Encik Achmad Michdan.

Menurutnya, wanita itu ditahan oleh polis di bawah undang-undang antipengganasan Indonesia dan boleh didakwa atas tuduhan melindungi atau menyembunyikan maklumat mengenai seorang suspek pengganasan.

'Arina tidak tahu suami yang dikenalinya sebagai Abdul Halim itu adalah Noordin Mohammad Top, walaupun dia mengakui lelaki itu jarang berada di rumah kerana bertugas sebagai guru di sebuah pesantren di Sulawesi Selatan,' kata Encik Achmad.

Menurut peguam itu, polis membawa Arina, 25 tahun, dua anak dan ibunya dari sebuah pesantren yang diasaskan oleh bapanya di Cilacap, Jawa Tengah.

Arina dikatakan datang ke Jakarta beberapa minggu lalu untuk meminta perlindungan undang-undang selepas polis melancarkan serbuan di rumah keluarganya.

Media tempatan melaporkan, polis menemui beberapa butir bom dan bahan letupan di rumah tersebut.

Di bawah undang-undang antipengganasan, polis mempunyai tempoh tujuh hari untuk mengisytiharkan seseorang sebagai suspek. -- Reuters, AP.

No comments:

Posting Terkini