Pages

Saturday, July 25, 2009

Shanghai mahu galak keluarga dua anak untuk atasi masalah penduduk tua

SHANGHAI (China): Pihak berkuasa Shanghai bercadang menggalakkan sesetengah keluarga mempunyai dua orang anak sewaktu China mengambil langkah melonggarkan dasar 'satu anak' sebagai respons kepada masalah penduduk yang semakin tua, menurut laporan semalam.

Pasangan suami isteri di Shanghai, bandar paling ramai penduduk di China, akan digesa mempunyai dua orang anak jika mereka datang daripada keluarga beranak tunggal, lapor akhbar China Daily.

'Kami menggalakkan pasangan yang layak agar mempunyai dua orang anak kerana ini akan membantu mengurangkan kadar penduduk tua dan meringankan masalah kekurangan tenaga kerja pada masa depan,' kata Pengarah Program Perancangan Keluarga Shanghai, Encik Xie Lingli, yang ditukil akhbar itu.

Pusat-pusat perancang keluarga di China akan mengedarkan risalah bagi menggalakkan pasangan yang layak supaya mempunyai anak kedua.

Kaunseling emosi dan kewangan akan ditawarkan kepada mereka yang mahu menyertai program itu, kata pegawai.

Shanghai kini mempunyai lebih tiga juta penduduk berdaftar yang berusia 60 tahun ke atas, yakni hampir 22 peratus daripada jumlah penduduknya.

Menjelang 2020, kadar itu dijangka naik setinggi 34 peratus.

Keadaan yang serupa di kebanyakan bandar raya di China mendorong pemerintah melonggarkan dasar 'satu anak' di kawasan bandar bagi pasangan suami isteri yang datang daripada keluarga beranak tunggal, kata akhbar tersebut.

'Jumlah penduduk tua yang semakin meningkat akan mengenakan tekanan ke atas generasi lebih muda.

'Kami perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut tetapi ia tidak bermakna dasar perancangan keluarga negara ini akan dibatalkan,' tegas Encik Xie.

Pasangan suami isteri di luar bandar sejak dulu dibenarkan mempunyai dua orang anak jika anak sulung seorang bayi perempuan.

Namun, etnik minoriti China dikecualikan daripada dasar-dasar perancangan keluarga.

Dasar 'satu anak' pertama kali dilaksanakan di China pada 1979. Ia berhasil mengurangkan 400 juta kelahiran baru di China, yang kini mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini