LOS ANGELES (Amerika Syarikat): Doktor peribadi Michael Jackson kini dikenal pasti sebagai suspek yang menyebabkan kematian Raja Pop itu, menurut dokumen mahkamah yang difailkan kelmarin.
Waran pemeriksaan yang difailkan kelmarin di Mahkamah Daerah Harris County, Texas, menyatakan bahawa pegawai- pegawai penyiasat sedang mencari 'bahan bukti yang menunjukkan Dr Conrad Murray melakukan jenayah tersebut'.
Rabu lalu, para pegawai polis dari Los Angeles dan Houston serta ejen Pentadbiran Penguatkuasa Dadah (DEA) melakukan pemeriksaan ke atas sebuah pejabat dan unit setor di Houston milik Dr Murray, seorang pakar kardiologi.
Sejumlah bahan bukti yang dirampas dari Klinik Perubatan Armstrong, termasuk kad Rolodex, pesanan e-mel, surat- surat, resit telefon dan dua botol ubat - berisi 27 butir phentermine, sejenis penekan selera, dan clonazepam iaitu ubat pereda kerisauan.
Pegawai-pegawai penyiasat juga memeriksa komputer Dr Murray.
Senarai bahan bukti yang diperolehi daripada unit setor termasuk cakera komputer, cakera padat dan sejumlah dokumen, termasuk notis penggantungan tugas Dr Murray dari sebuah hospital setempat.
Dr Murray, 51 tahun, yang bertugas di California, Nevada dan Texas, termasuk antara beberapa doktor yang disoal pegawai penyiasat berhubung kematian Jackson.
Dia berada bersama Jackson semasa Raja Pop itu meninggal dunia dan kini menjadi suspek utama siasatan polis.
Penggeledahan yang dilakukan ke atas kliniknya menunjukkan mereka menjadikan beliau sebagai sasaran siasatan.
Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Encik Bruce Borihanh, mengesahkan bahawa satu waran pemeriksaan sudah dikeluarkan tetapi enggan mengulas.
Penyiasat LAPD sebelum ini menyoal Dr Murray sebanyak dua kali tetapi tidak menamakannya sebagai suspek.
Peguam Dr Murray, Encik Edward Chernoff, mengesahkan pada Rabu lalu bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat anak guamnya kerana disyaki menyebabkan kematian dan polis sudah mengambil dokumen dan bahan bukti lain daripada pejabatnya.
Menurut Encik Chernoff, anak guamnya tidak memberi Jackson sebarang dadah atau ubat yang mungkin menyebabkan kematian beliau.
Penolong Ketua Koroner Los Angeles, Encik Ed Winter, berkata beliau menjangka pejabatnya akan mengeluarkan laporan bedah siasat minggu depan.
Pegawai koroner merampas beberapa beg bekalan ubat-ubatan dari rumah Jackson di Holmby Hills selepas kematian beliau. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment