BEIJING: Perbicaraan suspek-suspek yang terlibat dalam pergolakan yang menggegarkan ibu kota wilayah Xinjiang awal bulan ini akan bermula pertengahan Ogos ini, kata akhbar pemerintah China semalam.
'Hanya beberapa orang daripada mereka yang ditahan akan didakwa dan dibicarakan kerana rusuhan itu,' kata laporan akhbar bahasa Inggeris China Daily yang memetik sumber-sumber mahkamah dan polis di Urumqi, ibu kota Xinjiang.
Polis, bagaimanapun, tidak menyatakan berapa ramai yang bakal didakwa atau berapa ramai daripada mereka yang ditahan sejauh ini yang dibebaskan, tambah akhbar itu.
Namun, polis mengesahkan penahanan lebih 1,600 orang yang disyaki memainkan peranan dalam keganasan yang tercetus di Urumqi pada 5 Julai lalu, kata China Daily.
Rusuhan itu menyebabkan 197 orang terbunuh dan lebih 1,700 lagi cedera, menurut pegawai.
Perbicaraan itu akan diadakan di sebuah mahkamah pertengahan di Urumqi, yang sudah pun bersedia menjalankan perbicaraan itu, kata laporan itu lagi.
Aktivis Uighur yang hidup dalam buangan, Cik Rebiya Kadeer, berkata hampir 10,000 anggota puak Uighur 'hilang' selepas pertempuran ganas itu - sama ada terbunuh atau ditahan - tetapi dakwaannya ditolak oleh jurucakap pemerintah Xinjiang, Cik Hou Hanmin.
Laporan China Daily juga tidak mendedahkan dakwaan yang dihadapi oleh tahanan yang bakal menghadapi perbicaraan itu.
Di Sydney, Australia, semalam, menolak bantahan China mengenai lawatan Cik Rabiya, sambil berkata beliau bukan 'pengganas' dan tidak ada sebab mengapa negara itu harus mengecualikan lawatannya.
Menteri Luar Australia, Encik Stephen Smith, berkata Cik Rabiya diberi visa untuk lawatannya minggu depan.
Semasa latawan itu, beliau akan melancarkan satu dokumentari mengenai dirinya dan bertemu dengan anggota masyarakat Uighur di Australia.
'Ini, saya fikir, adalah lawatannya untuk kali ketiga,' kata Encik Smith kepada stesen televisyen Sky News lewat malam kelmarin.
'Kami tidak mempunyai bukti atau maklumat bahawa beliau seorang pengganas dan, oleh itu, beliau diberikan visa mengikut prosedur imigrasi kami seperti biasa,' jelasnya.
China menyifatkan Kongres Uighur Sedunia yang dipimpin Cik Rabiya sebagai gerakan pemisah pengganas dan menuduh kumpulan tersebut terlibat secara langsung dalam rusuhan di Urumqi.
Sementara itu, China merancang melatih pegawai-pegawainya bagi menangani rusuhan dan bencana alam di tengah-tengah penularan keganasan etnik dan pergolakan akibat rasuah dan pencemaran, kata akhbar Southern Metropolitan Daily semalam. -- AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment