WASHINGTON: Presiden Filipina, Cik Gloria Macapagal Arroyo, pemimpin pertama Asia Tenggara yang melawat ke Rumah Putih di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, semalam mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat atas kesudiannya meningkatkan taraf ketenteraan Filipina dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada negara bekas jajahan Amerika itu.
Antara bantuan yang ditawarkan Amerika kepada Filipina termasuk memajukan lagi ekonomi negara Asia Tenggara itu dan dalam beberapa bidang lain.
Sebagai hos lawatan itu pula, Encik Obama memuji Cik Arroyo kerana memulakan satu proses perdamaian di wilayah Mindanao, yang sedang bergolak di selatan Filipina, 'yang menurut fikiran kami mempunyai potensi membawa perdamaian dan kestabilan kepada sebahagian Filipina yang dibelenggu pergolakan untuk sekian lama'.
Encik Obama turut menyentuh 'suara lantang' Filipina dalam isu-isu Asia seperti pelanggaran hak asasi di Myanmar dan program nuklear Korea Utara.
Presiden Amerika itu berkata beliau amat berharap dapat berkunjung ke Asia Tenggara sambil menambah bahawa Filipina akan menjadi 'negara penyelaras dalam hubungan Amerika dengan Asean'.
Manila adalah antara negara pengasas Asean, yang menjadi blok strategik dalam rantau ini.
Semasa menemui wartawan selepas mesyuarat selama 45 minit di Pejabat Bujur, Cik Arroyo juga memuji apa yang disifatkan beliau sebagai 'kuasa lembut' Amerika, mempertingkatkan prasarana awam bukan sahaja di Mindanao tetapi ke beberapa daerah lain di Filipina.
'Kami amat berterima kasih kepada Amerika sebagai sekutu yang penting dalam membantu menjadikan tentera kami menjadi lebih profesional dan menjadikannya lebih berkesan,' kata Cik Arroyo.
'Tidak kurang pentingnya, kami berterima kasih kepada Amerika kerana menjadi sekutu yang baik, dengan berusaha menyebarkan kuasa lembutnya, dalam membantu kami membina jambatan, jalan raya, sekolah, bukan sahaja di Mindanao, malah juga di seluruh negara.
'Bantuan yang disediakan Amerika ini membantu kami mencapai apa yang telah semampunya kami capai dalam proses perdamaian di Mindanao, di selatan Filipina, dan juga perjuangan kami menentang pengganasan.'
Beliau juga memuji pendirian Encik Obama terhadap perubahan cuaca, dengan berkata bahawa ia adalah penting bagi Filipina, sebuah negara dengan gugusan ribuan pulau.
'Perubahan cuaca yang teruk akan membawa bencana kepada negara kami,' katanya.
'Kami sudah pun merasakan adanya perubahan cuaca itu dan kenaikan paras laut,' kata beliau lagi.
Selepas itu, Cik Arroyo memberitahu media Filipina bahawa beliau 'amat gembira' dengan pertemuan itu dan menyifatkan Encik Obama sebagai 'mesra, ramah, amat menarik' dan amat berpengetahuan tentang hubungan antara Amerika dengan Filipina.
Di Manila, kumpulan berhaluan kiri, Bayan, mengecam pertemuan antara Cik Arroyo dengan Presiden Amerika itu, sambil berkata 'ia tidak akan menghasilkan sebarang manfaat yang jelas kepada rakyat Filipina'. -- AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment