Pages

Wednesday, March 11, 2009

Tuanku Mizan terima Ijazah Kehormat Universiti Thailand

BANGKOK: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Sains Politik oleh Prince of Songkhla University.

Anugerah itu disampaikan oleh presiden universiti berkenaan, Boonsom Siribumrungsukha, dalam satu istiadat di Hotel Mandarin Oriental Bangkok dengan disaksikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong adalah dalam rangka lawatan negara selama empat hari ke Thailand bermula Isnin lalu.

Perdana Menteri pertama, almarhum Tunku Abdul Rahman pernah menerima Ijazah Doktor Kehormat Pentadbiran Awam daripada universiti itu pada 1977.

Dalam titahnya pada majlis itu, Tuanku Mizan melahirkan rasa bangga kerana menerima anugerah berprestij itu daripada sebuah universiti yang dihormati bukan saja di Thailand tetapi juga di luar negara itu sejak ia ditubuhkan pada 1967.

Seri Paduka Baginda juga gembira kerana Prince of Songkhla University mempunyai kerjasama dalam kegiatan akademik dengan beberapa universiti di Malaysia sejak 40 tahun lalu.

Universiti itu sedang merancang program ijazah bersama dan ijazah berganda dengan universiti di Malaysia.

Tuanku Mizan bertitah bahawa pertukaran lawatan antara pelajar dan kakitangan akademik dari kedua-dua negara dapat memupuk persefahaman lebih mendalam ke arah mengukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Thailand.

Pada sebelah petang, Seri Paduka Baginda berdua melawat satu pameran hasil kerja tangan pengukir tempatan. - Bernama

No comments:

Posting Terkini