Pages

Wednesday, March 4, 2009

Speaker DUN Perak boleh disiasat salah guna kuasa: SPRM

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan siasatan ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, atas dakwaan menyalahgunakan kuasa sebagai pegawai badan awam, berikutan tindakannya memanggil sidang tergempar tidak sah semalam.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berkenaan mengikut Akta SPRM 2009.

"Mengikut Seksyen 29(3) Akta SPRM, ia memperuntukkan kuasa untuk menyiasat berdasarkan peruntukan mengikut akta ini dan Kanun Tatacara Jenayah bila mana disyaki perlakuan suatu kesalahan mengikut akta berkenaan.

"Berdasarkan kepada aduan atau maklumat yang diterima, Speaker DUN Perak ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas perasmian Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai dan Penolong Penguasa siri 3, di Medan Kawad, Tanjung Bidara Beach Resort, dekat sini, hari ini.

Semalam, Sivakumar mengadakan sidang tergempar DUN Perak di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan. Sidang yang dihadiri semua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat itu tidak pernah mendapat perkenan Sultan Perak.

Beberapa jam selepas itu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan arahan menghalang Sivakumar untuk mengadakan sebarang sidang DUN tanpa kebenaran Sultan Azlan Shah.

No comments:

Posting Terkini