Pages

Monday, March 2, 2009

Sekilas Berita Dunia dan Malaysiakini

Perbankan Islam terlepas dari krisis ekonomi

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Encik Jusuf Kalla, semalam berkata bahawa sistem perbankan Islam terlepas daripada krisis ekonomi sejagat.

'Kita semua tahu negara Islam dengan sistem ekonomi Islam tidak mengalami masalah yang serius dalam keadaan krisis sekarang,' katanya semasa merasmikan sidang sempena Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) kelima di Jakarta, semalam.

Forum itu akan dirasmikan hari ini oleh Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. -- AFP.

Jumlah korban di Iraq naik 35% bulan lalu

BAGHDAD: Seramai 258 rakyat Iraq terkorban dalam keganasan di Iraq bulan lalu.

Angka korban itu merupakan satu peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding jumlah korban pada Januari lalu.

Angka korban sebanyak 191 orang pada Januari lalu merupakan yang terendah dalam tempoh hampir tiga tahun. -- AFP.

Thaksin tidak akan hadir acara di Hongkong

HONGKONG: Mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, tidak akan menghadiri satu acara anjuran Kelab Koresponden Asing Hongkong (FCC) hari ini.

Sebaliknya, beliau akan berucap melalui rangkaian video dalam tempoh beberapa hari mendatang, kata penganjur acara itu semalam.

Encik Thaksin tidak jadi hadir ke acara itu selepas Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, berkata bahawa beliau akan meminta China supaya mengekstradisi Encik Thaksin ke Thailand. -- AFP.

Karpal diberi amaran

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno mengingatkan Pengerusi DAP, Encik Karpal Singh, tidak membangkitkan kemarahan orang Melayu dengan perbuatan kesat dan membelakangi adab serta adat.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata Malaysia ada adab serta adat yang sentiasa dipertahankan dan menjadi lambang kepada kemakmuran negara.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Encik Karpal memaki Pemuda Umno sebagai celaka. -- BMM.

Dua Timbalan Presiden Umno?

PUTRAJAYA: Jawatan Timbalan Presiden Umno dicadangkan ditambah satu lagi dengan seorang daripada mereka diberi jawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala seorang lagi menumpukan pada kerja parti dalam hal pengurusan dan pentadbiran Umno.

Calon Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Idris Haron, ketika mencadangkan perkara itu berkata langkah itu bertujuan urusan kerajaan dan parti dipisahkan.

Beliau berkata, jawatan Naib Presiden juga perlu ditambah kepada enam kerusi berbanding tiga ketika ini. -- BMM.

PM tetap serah tugas bulan ini

HUA HIN (THAILAND): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam berkata beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan Umno lewat bulan ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi yang beliau tidak akan melepaskan jawatan perdana menteri selepas pemilihan Umno itu.

Datuk Seri Najib kini bersedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan parti daripada Datuk Seri Abdullah selepas muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan presiden Umno. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini