Pages

Monday, March 2, 2009

LIMA SYARIKAT SINGAPURA RUGI $30B

Dari Cha-Am (Thailand): KERUGIAN yang ditanggung Temasek di dalam syarikat SingTel, SIA, DBS, Keppel dan SembCorp yang dimilikinya mencecah $30 bilion setelah pasaran saham Singapura menjunam 50 peratus, menurut Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semalam.

Namun, prestasi pelaburan dua agensi pelaburan utama pemerintah - Temasek Holdings dan Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) - adalah memuaskan, ujar Encik Lee yang ditemui di akhir Sidang Puncak Asean Ke-14 yang berakhir semalam.

'Kita tidak boleh membincangkan Citigroup sebagai Citigroup. Kita perlu melihat keseluruhan portfolio, dan melihat sejauh mana kelakonannya.... Ia mempunyai pasang surut, ada baik, ada buruk, ada tahun baik, ada tahun buruk, dan sejak 20 tahun lalu, ia memuaskan dan saya fikir dalam pasaran sekarang, tiada dana yang tidak terjejas.

'Maksud saya, sekiranya anda melihat pelaburan endowmen universiti di Amerika, ia merosot 20, 25 peratus... Harvard merosot 30 peratus. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

'Sekiranya anda membuat pelaburan, anda perlu menerima pasang surutnya,' ujar Encik Lee lagi.

Encik Lee berkata kerugian itu bukan sahaja menjejas pelaburan Temasek, GIC di luar negara tetapi turut menjejas pelaburan di dalam negeri.

'Dan sekiranya anda seperti Temasek dan anda memiliki SingTel, dan SIA, dan DBS, dan Keppel, dan SembCorp, kesemua saham ini telah merosot, pasaran saham Singapura telah menjunam lebih separuh.

'Lantas sekiranya anda menghitung kerugian saham ini sahaja, anda cakap mengenai kerugian $30 bilion.

'Lantas apakah yang boleh dilakukan pemerintah?

'Adakah anda mahu kita menjual SIA kerana tahun depan harganya akan merosot, atau Singtel? Anda mahu kita membuat jualan pandak (short selling) syarikat-syarikat ini? Atau jual pandak pasaran Singapura kerana anda fikir pasaran Singapura akan merosot lagi?

'Anda tidak boleh melakukannya. Anda perlu bertahan kerana ini aset jangka panjang. Kita melihat nilai jangka panjang dan kita perlu perspektif jangka panjang,' tambah Encik Lee lagi.

Dalam pada itu, Encik Lee turut meminta agar semua pihak mempunyai sudut keseimbangan apabila membincangkan tentang krisis ekonomi sekarang.

'Di satu pihak, kita perlu mengaku dan sedar tentang betapa berat masalah yang dihadapi. Di satu pihak lain janganlah terlalu taksub sehingga anda tidak boleh bangun pada paginya.

'Dan setiap hari apabila kita melihat berita buruk, pemberhentian kerja 50 sini 100 sana, lama kelamaan sekiranya anda tidak berasa tertekan, anda akan menjadi tertekan,' ujarnya lagi, yang berkata terdapat pelbagai perkembangan positif di Singapura, termasuk pembinaan Resort Bersepadu (IR).

'Setiap kali saya memandu di Marina saya akan melihat sama ada satu lagi tingkat telah dibina. Ia kini hampir selesai.

'Lantas, walaupun dalam keadaan muram sekarang, kita tidaklah begitu teruk. Kita mempunyai sumber, kita telah melakukan perkara yang betul, kita mempunyai belanjawan yang baik.

'Saya tahu orang ramai bertanya mengapa anda tidak membantu keluarga secara langsung tetapi cara yang terbaik untuk membantu rakyat bukanlah dengan memberi hongbao atau baucar untuk dibelanjakan tetapi membantu mereka mengekalkan pekerjaan,' ujar Encik Lee lagi. -- Oleh Azahar Mohamed

No comments:

Posting Terkini