Pages

Monday, March 2, 2009

Ganti exco agama tiada kaitan dengan prestasi:PKR

PULAU PINANG: Tindakan melantik exco lain menggantikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri bukan bermakna pemimpin itu tidak mencapai prestasi yang baik tetapi ia lebih kepada rombakan biasa untuk memantapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, menegaskan bahawa tindakan itu tiada kaitan dengan prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu dan hanya bertujuan meringankan bebannya.

Beliau berkata, tanggungjawab yang dipikul Mohammad Fairus ketika ini agak berat kerana beliau juga mempengerusikan beberapa jawatankuasa lagi iaitu Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat.

Menurutnya, PKR tidak rugi apa-apa dalam proses rombakan kecil exco kerajaan negeri Pulau Pinang kerana jawatan itu masih diserahkan kepada seorang lagi exco daripada parti berkenaan iaitu Abdul Malik Abul Kassim yang juga ADUN Batu Maung.

"Rombakan ini saya persetujui selepas berbincang dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan tidak salah memberikan tugas mengetuai portfolio agama itu kepada Abdul Malik kerana beliau hanya mengetuai dua jawatankuasa sahaja iaitu Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," katanya.

Zahrain berkata, ini juga peluang yang baik kepada PKR untuk memberikan sumbangan yang lebih berkesan kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rombakan portfolio itu dan spekulasi kononnya rombakan tersebut dibuat berdasarkan prestasi Mohammad Fairus yang tidak menyerlah.

Katanya, beliau menyedari mengenai pelbagai dakwaan yang disebarkan di blog tertentu kononnya Mohammad Fairus tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang baik dan menegaskan bahawa semua dakwaan itu perlu mempunyai bukti yang kukuh.

"Saya memang dengar macam-macam cerita mengenai Fairus tetapi kena ada bukti kukuhlah. Kalau setakat menulis dalam blog, saya rasa itu tindakan yang kurang sesuai, sebaliknya pihak yang mendakwa itu perlu membuat aduan secara rasmi sama ada kepada parti mahupun pihak berkuasa yang berkaitan jika dakwaan mereka membabitkan soal penyalahgunaan kuasa," katanya.

Barisan exco kerajaan negeri dianggotai 11 pemimpin yang mana tiga daripadanya diwakili pemimpin PKR manakala bakinya daripada DAP.

Zahrain berkata, PKR Pulau Pinang sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk memantau prestasi semua ADUN, Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Majlis Perbandaran bagi memastikan mereka memberikan sumbangan yang berkesan dan bermakna bukan sahaja kepada kerajaan negeri malahan rakyat.

Katanya, mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, terbabit dalam sebarang salah guna kuasa, penyelewengan atau rasuah akan digantikan pada pilihan raya akan datang demi memastikan imej PKR dipelihara dengan baik. - Bernama

No comments:

Posting Terkini