Pages

Thursday, March 12, 2009

PNSB Dikatakan Biaya RM1.2j Balkis ke Disneyland

SHAH ALAM, 11 Mac - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dikatakan membiayai sejumlah RM1.2 juta untuk perjalanan ‘lawatan teknikal’ Badan Amal dan Kebajikan Selangor (Balkis) ke Disneyland pada 2007.

Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) ketika mendedahkan perkara itu berkata Balkis turut membuat lawatan teknikal ke Hong Kong dan Korea.

“Saya ingin tahu apakah hasil daripada lawatan-lawatan tersebut? Balkis telah menerima peruntukan yang besar daripada PNSB untuk memberi sumbangan atas nama kebajikan.

“Saya ingin tahu berapakah jumlah yang dikeluarkan PNSB untuk menampung kos-kos perbelanjaan ahli Balkis termasuk pakaian serta perhiasan mereka,” katanya ketika perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Selangor hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik kesungguhan kerajaan negeri memantau selia kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran di semua agensi, badan berkanun, pihak berkuasa dan pertubuhan di bawah pentadbiran negeri.

“Sementara kita bongkar kesalahan dan penyelewengan Umno dan Barisan Nasional selama 50 tahun memerintah, rakyat mahu melihat urus tadbir yang baik dan bertanggungjawab di bawah kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin turut menarik perhatian dewan hari ini apabila mengulas isu jam tangan Patek Phillipe berharga RM159,250 yang diberikan kepada Pengerusi PNSB ketika itu, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Beliau dimaklumkan yang panel siasatan yang dibentuk kerajaan negeri yang turut dianggotai oleh pasukan forensik akauntan mengenalpasti terdapat unsur salahguna kuasa melalui pemberian jam mewah itu.

Katanya, menurut General Order, setiap penjawat awam tidak boleh menerima sebarang cenderahati yang bernilai lebih RM1,000.

“Setakat ini tiada sebarang maklumat yang dapat diperolehi mengenai pemulangan jam tersebut, kerana ia tidak berada dalam pegangan PNSB,” katanya.

Beliau menambah, menurut sumber jam tangan itu telah dijual PNSB kepada seorang pembeli, tetapi tidak ada rekod yang menunjukkan kesahihan penjualan tersebut. - NOOR ALLIA KASSIM

No comments:

Posting Terkini