Pages

Tuesday, March 3, 2009

FATWA: PENYIAR FILEM SEJAHAT PENGEDAR DADAH

RIYADH (Arab Saudi): Seorang ulama Arab Saudi mengeluarkan satu fatwa menggesa didakwa seorang jutawan diraja dan seorang lagi ahli perniagaan Saudi, dan menyifatkan mereka sejahat pengedar dadah kerana stesen televisyen yang mereka miliki menyiarkan tayangan filem.

Fatwa itu, yang dikeluarkan Encik Youssef al-Ahmed, seorang kakitangan kerajaan, sangat luar biasa kerana ia mengkritik secara terbuka dua tokoh terkenal Arab Saudi - Putera Al-Waleed bin Talal dan Waleed al-Ibrahim, adik ipar Allahyarham Raja Fahd dan pemilik konglomerat MBC Group yang berpangkalan di Dubai.

Perkembangan itu berlaku enam bulan selepas ketua tribunal tertinggi di negara itu berkata adalah dibenarkan membunuh pemilik stesen televisyen yang menyiarkan rancangan yang dianggap tidak bermoral.

Fatwa yang dikeluarkan Sabtu lalu oleh Encik Al-Ahmed, seorang profesor perundangan Islam di Universiti Al-Imam, adalah sebagai menjawab soalan berhubung kenyataan Putera Al-Waleed bulan lepas bahawa satu hari nanti akan ada pawagam di Arab Saudi dan filem akan memain peranan 'positif' di Arab Saudi.

'Filem adalah alat yang digunakan orang munafik untuk melaksanakan rancangan mereka mahu menyebarkan budaya Barat dan merosakkan masyarakat dan memesongkan mereka daripada ajaran agama,' kata Encik Al-Ahmed, yang disiarkan menerusi laman web Islamlight.net.

'Adalah menjadi tanggungjawab (kita) menyeret beliau (Putera Al-Waleed) dan orang seperti Waleed al-Ibrahim ke muka pengadilan,' tegasnya.

'Mereka sama bahayanya dengan pengedar dadah,' tambah beliau.

Putera Al-Waleed, yang juga anak saudara Raja Abdullah bagi Arab Saudi, yang disenaraikan majalah Forbes sebagai orang ke-13 paling kaya di dunia, tidak segera mengulas fatwa berkenaan.

Pengarah pemasaran MBC Group, Encik Mazen Hayek, juga enggan membuat ulasan.

MBC Group termasuk beberapa stesen televisyen satelit yang menyiarkan filem, hiburan, berita dan rancangan kanak-kanak dalam bahasa Arab dan Inggeris, termasuk filem dan drama bersiri Amerika dan Eropah.

Pawagam ditutup di Arab Saudi pada tahun-tahun 1980-an selepas ia menjadi lebih konservatif.

Dalam fatwanya, Encik Al-Ahmed berkata Putera Al-Waleed patut bertaubat. -- AP.

No comments:

Posting Terkini